Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – BERNAMA Radio menerusi siri rancangan Cakna Bahasa telah menampilkan Encik Mohd Januri Ayub yang juga merupakan Munsyi Dewan, pengajar dan penulis buku yang bertajuk Mencanai Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau menjadi tetamu undangan dalam siri rancangan tersebut bagi mengupas bukunya itu.
Menurut beliau, “mencanai bahasa” merupakan satu tindakan yang merujuk tindakan mempertajam dan membina pengetahuan tentang bahasa Melayu. Tujuan penghasilan buku tersebut adalah untuk membantu mempertingkatkan pemahaman pengguna bahasa Melayu dan membantu pengguna menggunakan bahasa secara gramatis.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan bahasa secara gramatis merujuk penggunaan bahasa secara tepat yang sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dalam buku ini, saya telah memulakan bab dengan memperkenalkan konsep-konsep penting dalam bahasa Melayu dengan harapan apabila memahami konsep-konsep penting ini, penggunaan yang betul dapat dilaksanakan dan diaplikasikan dari segi tatabahasa dan ejaan.
Jelasnya lagi, dalam konteks buku ini, konsep bahasa yang ingin dibincangkan merangkumi hierarki yang membina bahasa. Walau bagaimanapun, buku ini tidaklah secara spesifik menjelaskan setiap konsep struktur tersebut. Terangnya lagi,
Untuk memudahkan pemahaman pembaca tentang konsep dalam buku ini, perbincangan tertumpu kepada perbandingan antara konsep.
Antara perbandingan yang dibincangkan dalam buku tersebut termasuklah perbandingan antara morfem dengan kata, perbandingan akar kata, kata tunggal dan kata dasar, perbandingan huruf akronim dengan huruf ringkas, perbandingan kata ganda penuh, kata ganda asal dan kata ganda semu, dan perbandingan wacana dengan penanda wacana.
Konsep-konsep tersebut akan memudahkan pengguna bahasa Melayu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat.