15 Mei 2023, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pattani – Bermasalah dengan tulisan Jawi? Demikian tujahan yang dipersoalkan oleh Ustaz Ahmad Fathi Al-Fatoni, wakil Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sewaktu pembentangan dasar dalam Seminar Kaedah Tulisan Jawi Fatoni, yang berlangsung di ASEAN Mall, Pattani awal Mei 2023 lalu.

Beliau beranggapan bahawa masalah Jawi bukan dengan kaedah penulisannya. Menurut beliau, “Kita telah ada sejak dulu, iaitu sistem ejaan Jawi kitab, kemudian sistem ejaan Jawi Za’ba dan terkini Sistem Ejaan Jawi Diperbaharui yang diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia’.

Tambah beliau, punca sebenar masalah Jawi ialah tidak laku dijual lantaran tiada nilai ekonomi (berbanding dengan tulisan Rumi dan bahasa Thai). Sekiranya bernilai, ejaan Jawi akan diambil peduli dan diguna pakai secara menyeluruh yang meliputi dalam negara bahkan merentas Alam Melayu Islam Nusantara.

Tambah Ustaz Ahmad Fathi, “Dahulu wujud pelbagai wahana penulisan dalam tulisan Jawi seperti buku, surat khabar, majalah Mastika dan Dian. Majalah ini bermula dengan tulisan Jawi, kemudian bertukar kepada tulisan Rumi. Akhirnya, penerbitan kebanyakan majalah seperti Dian tidak lagi dapat diteruskan.

Sehubungan dengan itu, sebagai seorang daripada mantan editor majalah Pengasuh, beliau amat mengagumi majalah Pengasuh terbitan MAIK, yang terus kukuh bertahan lebih satu abad yang mengekalkan tulisan Jawi sejak tahun 1918 hingga ke hari ini.

Ustaz Ahmad Fathi Al-Fathoni turut menyarankan beberapa langkah untuk menyelesaikan kekusutan masalah Jawi. Antaranya termasuklah mengekalkan kaedah ejaan bagi perkataan yang berasal daripada bahasa Arab.

Selain itu, beliau menyarankan hasil pakar Jawi dikumpulkan, dibengkelkan dan diselaraskan pemahaman dan kaedah ejaan Jawi mereka. Mereka inilah yang akan terus mengembangkan dan mempertahankan tulisan Jawi sebagaimana ulama silam Alam Melayu yang begitu gigih menjaga tulisan Jawi melalui penulisan kitab.

Beliau juga menyeru agar tulisan Jawi terus dimartabatkan dan menyarankan agar menjadikan Kelantan dan Patani sebagai kubu terakhir tulisan Jawi di Nusantara.

Seminar anjuran Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Universiti Fatoni (PUSTANI) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) ini menggagaskan resolusi seperti yang berikut:

  1. Menjaga tulisan Jawi yang merupakan anugerah Allah yang berasal daripada huruf-huruf al-Quran dan mewarisi tulisan Jawi yang merupakan warisan nenek moyang dan jati diri masyarakat Melayu Patani.
  2. Memajukan tulisan Jawi yang merupakan hak bersama masyarakat Melayu Patani dalam pendidikan, ekonomi, sosial dan kebudayaan.
  3. Mewujudkan pusat rujukan tulisan Jawi Patani wilayah sempadan selatan.
  4. Menyelaraskan nama-nama pada papan tanda jabatan kerajaan, nama-nama kampung dan lain-lainnya.
  5. Menubuhkan sebuah badan kerjasama antara badan kerajaan dan masyarakat Melayu Patani untuk memajukan tulisan Jawi Melayu Patani bagi tujuan perluasan dan kegiatan pengembangan tulisan Jawi.
  6. Menubuhkan satu jawatankuasa kumpulan pakar bahasa dan persuratan Melayu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia untuk merangka kaedah ejaan Jawi.
  7. Tubuhkan satu lajnah untuk menyatukan kaedah tulisan Jawi Patani.
Dr. Suraiya Chapakia, Timbalan Pengerusi PUSTANI menyampaikan sijil dan cenderamata kepada Ustaz Ahmad Fathi Al-Fatoni.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.