17 Mei 2023, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK), Kelantan, pada hari ini. Perbincangan selama sejam ini diketuai oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT bersama-sama pegawai kanan DBPWT.

Kunjungan ini bagi membincangkan perancangan pihak DBPWT bagi melaksanakan Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun ini. Hasrat DBPWT ini disambut baik oleh wakil Pengarah BITU, Puan Nik Nur Syazwani Nik Yahya, Penolong Pengarah Kanan BITU,  beberapa orang pegawai BITU dan wakil daripada Bahagian Korporat dan Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat SUK Kelantan.

Puan Nik Nur Syazwani Nik Yahya menyatakan bahawa BITU pernah menganjurkan pertandingan pidato pada peringkat sekolah di Kelantan. Sehubungan dengan itu, pertandingan pidato untuk peringkat sektor awam di Kelantan ini wajar diadakan bagi memberikan ruang kepada penjawat awam membina keyakinan diri dan berketerampilan dalam mengemukakan idea, pandangan serta mengungkapkan buah fikiran dengan baik dan berkesan. Melihat kepada kewajaran program ini dilangsungkan, pihak BITU bersedia untuk mencadangkan pelaksanaan program ini kepada pihak atasan SUK bagi mendapatkan sokongan.

Puan Ariza Che Ismail, dalam ucapan balas beliau pula amat berharap agar pertandingan pidato ini dapat dilaksanakan sebagai wadah khusus kepada peserta atau penjawat awam untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu. Selain itu, pertandingan pidato turut dapat melahirkan penjawat awam yang petah berkomunikasi, kreatif dan mampu menyampaikan idea dengan baik dan lebih berkesan kepada khalayak.

Pelaksanaan pidato ini sebagai satu usaha memupuk sikap bertanggungjawab setiap individu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pidato juga dapat meningkatkan kemahiran sosial serta membina modal insan yang berintegriti, berilmu, berdaya saing, bersahsiah tinggi dan berkuali.

Pihak BITU juga amat berterima kasih atas kunjungan hormat daripada pihak DBPWT dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan seperti pelaksanaan kursus dengan pihak Akademi DBP, dan aktiviti pameran buku terbitan DBP dalam program Pejabat SUK Kelantan pada masa akan datang.

Kerjasama sebegini amat wajar kerana sebelum ini Pejabat SUK Kelantan telah memberikan kerjasama dalam menjayakan beberapa program besar dengan DBPWT seperti Anugerah Sastera Kelantan 2015 dan 2019/2020, Bulan  Bahasa Kebangsaan, Dekad Bahasa Kebangsaan dan Kembara Bahasa.

Perbincangan antara pihak BITU dengan pihak DBPWT.
Puan Nik Nur Syazwani Nik Yahya (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Puan Ariza Che Ismail.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.