18 Mei 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu –Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Kolej Vokasional Bachok dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, serta pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Kelantan akan mengadakan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada 20 Mei dan 21 Mei 2023.

Festival tersebut akan diadakan di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan, yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 11.00 malam. Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia pada 20 Mei 2023 (Sabtu), pukul 3.00 petang di Dewan Sri Harmoni, Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.

Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera bagi melahirkan modal insan yang kritis dan kreatif, berketerampilan, berkeyakinan tinggi serta kukuh nilai jati dirinya.

Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang program berlangsung seperti Ekspresi Muzik Jalanan (pertandingan lagu puisi dan lagu ciptaan), Pertandingan Dikir Barat dan persembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa, yang akan menampilkan barisan pendikir barat Kelantan dan kumpulan dikir barat Sound Creative, juara Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2022 anjuran RTM, wayang kulit, lagu rakyat atau daerah dan deklamasi puisi oleh pendeklamator dan penyair terkenal Kelantan.

Selain itu, akan diadakan juga Bimbingan Penulisan Sastera Komunikatif, Bimbingan dan Penghayatan Puisi, Bimbingan Teknik Bercerita, Majalah dalam Kelas, Jejak Bahasa, Semarak Jawi, Pertandingan Tazkirah Bahasa, Sembang Orang Muda, Eksplorasi Bahasa, Bicara Buku Penulis Siam Kelantan dan Riang Ria Bahasa. Pihak DBP juga akan mengadakan pameran dan jualan buku DBP dengan diskaun yang istimewa.

Sepanjang festival juga akan diadakan Pemeriksaan Kesihatan, Jualan Komersial, Pameran Agensi Kerajaan, Pameran Pendidikan dan Pameran Kerjaya. Oleh itu, datanglah beramai-ramai bersama-sama keluarga bagi memeriahkan Festival Bahasa dan Sastera Kelantan 2023. Ayuh kita hadir sebagai tanda kasih dan sokongan penuh kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa pemersatu, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa pembina peradaban warga dan negara Malaysia.

Sementara itu, Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dalam temu bual semasa siaran langsung di RTM Kelantan pada 16 Mei 2023 yang lalu amat mengharapkan kehadiran pengunjung ke festival ini khususnya masyarakat tempatan. Ujar beliau, “Tunjukkan sokongan kepada DBP dalam usaha untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Bersama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi kelestarian bangsa dan negara Malaysia yang tercinta”.

 

Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

 

Program Semarak Jawi.

 

Program Bicara Buku Penulis Siam Kelantan.

 

Program Ekspresi Muzik Jalanan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.