21 Mei 2023, 21:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka tirai Festival Bahasa dan Sastera 2023 (FBS) dengan Kelantan diberi penghormatan sebagai negeri pembuka tirai yang melaksanakannya.

Bertempat di Kolej Vokasional Bachok, program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Kolej Vokasional Bachok, serta dukungan pelbagai agensi awam dan swasta.

FBS yang berikutnya akan dilaksanakan oleh DBP di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang pada bulan Mei dan Jun 2023.

Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmian FBS Kelantan 2023 amat berterima kasih kepada DBP kerana melaksanakan FBS Kelantan 2023.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek merasmikan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan pada 20 Mei 2023, di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.

Beliau berkongsi kisah dirinya yang sedari kecil telah dipupuk oleh kedua-dua ibu bapanya dengan bahan bacaan bermutu daripada DBP, membesar dengan novel terbitan DBP dan dididik supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Kesannya hingga kini, beliau amat menghargai dan mempercayai bahawa DBP ialah satu-satunya institusi yang cukup berwibawa dalam menjaga integriti bahasa.

Ujar beliau,

Sebagai ibu bapa, apabila bercakap tentang buku, bukan soal hanya melihat bahan bacaan (yang sesuai) untuk anak-anak, tetapi integriti buku seperti soal penerbitnya dan soal kesalahan bahasa mesti menjadi perkiraan ibu bapa setiap kali membeli buku untuk bahan bacaan anak-anak kita.

Tambah beliau lagi,

Semasa kecil, ibu membacakan Tidurlah Intan kepada saya. Koleksinya mengandungi kisah yang berorientasikan nasihat dan nilai yang baik untuk dibaca kepada anak-anak. Datuk dan nenek saya selalu mengisahkan cerita Batu Belah Batu Bertangkup dan Bawang Putih Bawang Merah. Bahan bacaan begini menjadikan kita minat membaca, memperbaik bahasa dan mengayakan pengalaman.

Di samping itu, YB Fadhlina Sidek turut mengucapkan tahniah kepada DBP yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang menyemarakkan lagi kecintaan terhadap bahasa, budaya dan tradisi Malaysia, khususnya yang menjadi identiti negeri Kelantan. Beliau berharap agar program seperti ini dapat memperkenalkan kepada generasi muda tentang kekayaan bahasa, sastera dan seni budaya Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, Festival Bahasa dan Sastera 2023 Peringkat Negeri Kelantan pada 20-21 Mei 2023 merupakan satu daripada pengisian agenda DBP untuk memasyarakatkan bahasa, sastera dan ilmu kepada masyarakat pelbagai lapisan dan golongan di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berucap semasa Festival Bahasa dan Sastera 2023 Peringkat Negeri Kelantan.

Menurutnya lagi, usaha pemasyarakatan itu penting sebagai imbangan dan pelengkap terhadap kerja pembinaan bahasa, sastera dan ilmu agar hasil gerak kerja pembinaan itu sampai kepada masyarakat. Kegiatan serius perlu disokong oleh kegiatan santai tetapi tetap berlandaskan ilmu dan nilai luhur kerana kepelbagaian khalayak bahasa, sastera dan ilmu.

Usaha bersepadu DBP itu juga selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk membina masyarakat berilmu, bermaklumat, berbudi luhur, berinovasi dan rahmah.

Ujarnya lagi,

Bahasa Melayu merentas 700 etnik di alam Melayu. Bahasa Melayu pada peringkat serantau dan negara kita menjadi alat perpaduan yang cukup ampuh yang mesti terus diangkat dan digerakkan. Festival seperti ini, saya yakin dapat meneruskan gerakan DBP bagi menyedarkan masyarakat bahawa bahasa dan sastera mempunyai peranan yang besar dalam mengangkat tamadun. Menjadi tanggungjawab kita sebagai waris tamadun Melayu untuk menjadikan bahasa dan sastera sebagai tonggak penting selain terus melestarikan perkembangan ekonomi dan dari sudut lain.

Untuk rekod, FBS dilaksanakan untuk mempromosikan dan menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan masyarakat dan menyatupadukan masyarakat melalui bahasa kebangsaan.

Lebih 3000 orang peserta dan pengunjung pelbagai pihak dilibatkan yang meliputi murid prasekolah dan sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, IPT, IPG, guru, penulis, rakan komuniti setempat dan orang awam.

 

Sebanyak 14 kegiatan menarik telah dilaksanakan untuk menyemarakkan FBS Kelantan 2023 yang bermula dari 20 Mei dan 21 Mei 2023, seperti Ekspresi Muzik Jalanan, Pertandingan Dikir Barat, Eksplorasi Bahasa, Bimbingan Penulisan Sastera Komunikatif, Bimbingan dan Penghayatan Puisi, Bimbingan Teknik Bercerita, Majalah dalam Kelas, Jejak Bahasa, Semarak Jawi, Pertandingan Tazkirah Bahasa, Sembang Orang Muda, Bicara Buku Penulis Siam Kelantan dan Riang Ria Bahasa.

 

YB Fadhlina Sidek ketika melawat tapak pameran Festival Bahasa dan Sastera 2023 di Kelantan.

Persembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa pula berkonsepkan adunan wayang kulit dan dikir barat sebagai seni persembahan kebudayaan di Kelantan yang menampilkan barisan pendikir barat Kelantan, dalang wayang kulit, lagu dikir dan deklamasi puisi oleh pendeklamator dan penyair tersohor Kelantan dan tetamu jemputan. Selain itu, pameran juga diadakan daripada pelbagai agensi serta jualan buku DBP.

Tetamu kehormat yang hadir semasa Majlis Perasmian Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Haji Md Johari Hasan; dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.