22 Mei 2023, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dokumen rasmi kerajaan merupakan dokumen yang dihasilkan oleh jabatan kerajaan seperti surat rasmi, minit mesyuarat dan laporan. Dokumen tersebut menjadi medium perhubungan antara jabatan kerajaan dengan masyarakat mahupun sesama jabatan. Penulisan dokumen rasmi yang baik berupaya menyerlahkan citra sesebuah jabatan kerajaan.

Sehubungan dengan itu, baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Samarahan selaku tuan rumah telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Surat-menyurat Rasmi dan Minit Mesyuarat yang bertujuan untuk membantu penjawat awam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat mengikut format dan bahasa yang standard.

Program selama tiga hari itu melibatkan 63 orang kakitangan dari Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Daerah Lundu, Majlis Daerah Sarikei, Majlis Daerah Saratok, Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Bau dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah.

Program tersebut dibimbing oleh Puan Siti Nur Atiqah Amirudin dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Melalui program tersebut, para peserta diberi maklumat tentang format penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), selain perkongsian yang berkaitan dengan ejaan dan tatabahasa yang betul dalam hukum penulisan bahasa Melayu.

Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi Kamus Pro dan tatacara penggunaan laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), DBP.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta sangat responsif dan mengajukan pelbagai soalan berkenaan dengan kekeliruan yang dihadapi semasa menyediakan surat rasmi dan minit mesyuarat jabatan.

Siri bimbingan ini diakhiri dengan sesi latihan dalam kumpulan yang memerlukan peserta menyediakan beberapa surat rasmi untuk dibincangkan dan ditambah baik dari segi format dan bahasanya.

Siti Nur Atiqah Amirudin sedang berkongsi maklumat asas penulisan minit mesyuarat.
Sesi latihan dalam kumpulan turut dijalankan dalam kalangan peserta.
Rakaman gambar kenang-kenangan pembimbing bersama-sama para peserta program.                   
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.