Oleh Suria Janib
24 Mei 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Dalam penyediaan kertas cadangan dan laporan, antara perkara asas yang perlu dititikberatkan termasuklah penggunaan bahasa yang baik dan betul,” demikian menurut Ketua Bahagian Buku Bahasa, iaitu YM Tengku Fauziah Ku Mat.

Katanya,

Masih banyak lagi penyedia kertas cadangan dan laporan yang tidak peka terhadap penggunaan bahasa yang baik dan betul.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramahnya dalam Kursus Wacana Profesional Berimpak Tinggi (Kertas Cadangan dan Laporan) kepada peserta kursus daripada pelbagai syarikat dan warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau berkata, masih berlaku kesalahan terhadap perkara asas bahasa seperti penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada”, serta penggunaan kata “bila” dan “apabila” dalam Kertas Cadangan dan Laporan.

Tambah beliau yang pernah terlibat dalam Khidmat Pengesahan Bahasa DBP juga menjelaskan bahawa banyak kesalahan bahasa yang berlaku di tempat awam seperti pada paparan papan iklan dan papan tanda. Misalnya, perkataan “mi” dan “kuetiau”, “Bangla untuk Dijual” dan Dilarang Memijat Rumput” yang dieja secara salah.

Walau bagaimanapun, beliau memuji beberapa tempat di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuklah Sabah yang berjaya mengurangkan kesalahan bahasa di tempat awam.

Katanya,

Besar kemungkinan, kesalahan bahasa yang begitu ketara pada papan tanda dan papan iklan dilakukan oleh pihak tertentu secara haram yang tidak mendapat pengesahan bahasa daripada DBP dan kebenaran daripada PBT.

YM Tengku Fauziah yang pernah bertugas sebagai Pengarah Wilayah Utara DBP berkongsi pengalamannya menyediakan kertas cadangan sebanyak 32 halaman untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan bagi membendung kesalahan bahasa di tempat awam. Baginya, tugas untuk meyakinkan PBT agar sama-sama membantu mengurangkan kesalahan bahasa di tempat awam menuntut tindakan yang sewajarnya dalam menghadapi cabaran yang besar.

Menurutnya, pemantauan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam kertas cadangan dan laporan amat diperlukan sebagai pembelajaran bahasa secara tidak langsung agar kesalahan yang sama tidak berulang. Selain itu, penggunaan bahasa yang baik mampu mendidik masyarakat untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan baik dan betul.

Dalam kursus tersebut, beliau turut berkongsi panduan dan petua yang berkaitan dengan penulisan Kertas Cadangan dan Laporan. Bagi mengukuhkan pemahaman dan pengetahuan, peserta kursus dikehendaki membuat latihan amali dan pembentangan kertas cadangan dan laporan. Kursus ini diadakan selama dua hari, iaitu pada 23 Mei hingga 24 Mei 2023 di Akademi DBP.

YM Tengku Fauziah Ku Mat sedang menyampaikan ceramah kepada peserta kursus.

 

Peserta kursus tekun mendengar perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.