26 Mei 2023, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan satu penghargaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada ahli akademik universiti awam yang mengangkat bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas.

Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin berkata, KPT sentiasa prihatin dengan usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu terutamanya di sektor pengajian tinggi kerana seperti yang sedia maklum kebanyakan buku rujukan di peringkat ini ialah dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak KPT bagi memartabatkan bahasa Melayu dan satu daripadanya ialah anugerah ini.

“KPT telah menganjurkan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu sejak tahun 2012 dan anugerah ini tercetus daripada Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2011-2015,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam.

Tambahnya, anugerah ini bagi menggalakkan para akademik di universiti awam menggunakan bahasa Melayu dalam proses pelajaran dan pembelajaran mereka.

Menurut beliau, anugerah ini terbuka untuk semua bidang dan bukan hanya kepada tenaga pengajar Bahasa Melayu semata-mata. Permohonan bagi anugerah ini telah dibuka mulai 31 Mac 2023 dan akan berakhir pada 16 Jun 2023.

Beliau berkata, sebanyak sembilan orang tokoh akademik telah menerima anugerah berkenaan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2012.

Generasi sekarang banyak terdedah kepada bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Korea kerana pengaruh media. KPT melihat perkara ini penting untuk terus berusaha memartabatkan bahasa Melayu dengan memberikan galakan kepada para pensyarah untuk menggunakan bahasa Melayu, seterusnya mampu memberikan kesedaran kepada para pelajar agar menghargai, menyanjungi dan berasa bangga menggunakan bahasa Melayu.

Tambahnya lagi, selain Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, terdapat dua lagi anugerah lain yang mengiktiraf para akademik dalam majlis yang dijangka bakal berlangsung pada bulan September nanti, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut boleh didapati di laman sesawang rasmi https://atabm.mohe.gov.my atau kemukakan pertanyaan kepada urus setia melalui e-mel [email protected].

Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.