Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Menjadi tanggungjawab seorang penulis untuk meneroka bidang lain selain bidang yang dikuasainya. Contohnya, sarjana dahulu dilihat sangat bersepadu dan holistik seperti Ibnu Sina sebagai ahli perubatan, iaitu beliau juga seorang ahli pendidikan, ahli ilmu fardu ain dan fardu kifayah,” kata YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika berkongsi ilmu dalam program Sesi Bersama-sama Penulis di Reruai DBP, Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang tadi.
Terdahulu YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan membaca sajak yang berjudul “Aduhai Desaku” daripada buku kumpulan puisinya yang berjudul Mencari Makna Diri.
Menurut YB Senator, bidang penulisan yang diceburinya pada peringkat awal adalah dalam penulisan cerpen (dahulunya dikenali sebagai certot) yang bermula pada peringkat sekolah menengah. Puisi hasil karyanya pula diterbitkan dalam ruangan Puisi Siswa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Seterusnya, beliau mencuba untuk menulis skrip drama radio.
Tambahnya, tulisannya pada peringkat awal banyak berkisar tentang hal ehwal kemasyarakatan dan kejiwaan. Selepas itu, penulisannya banyak bertumpu pada bidang bahasa.
Selain itu, beliau juga menulis dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, falsafah, sastera dan budaya. Dalam bidang sastera kreatif, beliau menulis puisi yang berkaitan dengan hal ehwal semasa yang berlaku di tanah air (sewaktu beliau berada di Beijing). Hasilnya, terbit buku Mencari Makna Diri dan Di Denai Kehidupan. Terkini, beliau banyak menghasilkan puisi yang berbentuk tazkirah.
Menurutnya lagi, penulisan puisinya berkisar tentang apa-apa yang berlaku di persekitaran yang terbit menerusi ilham dalam diri sendiri. Temanya berkisar tentang keluarga, rakan-rakan, pejabat, hal politik negara dan hubungan antarabangsa.
Selain itu, dalam bidang perjuangan bahasa, beliau mengulas tentang nasib bahasa Melayu yang ada kalanya terpinggir dan juga tentang soal kebudayaan.
Beliau turut menegaskan bahawa hal perpaduan dilihat sebagai isu yang perlu diangkat. Satu daripada caranya adalah melalui bahasa kerana bahasa itu jiwa bangsa. Maka itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus dikuasai dan diutamakan oleh semua ahli masyarakat. Namun begitu, hal ini tidak menghalang masyarakat daripada mempelajari bahasa lain selain bahasa Melayu.
Sesi perkongsian ilmu ini berakhir pada pukul 4.00 petang dengan alunan puisi oleh YB Senator yang berjudul “Mitos Bahasa” yang berkisar tentang perjuangan bahasa.