30 Mei 2023, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Sembang Akademi DBP bersama dengan Cikgu Zack Kirana telah berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2023) yang bertempat di Pentas Utama, Aras 2, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada pukul 10.00 pagi tadi.

Program ini anjuran Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah mengundang Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya, Saliza Ibrahim untuk berkongsi ilmu tentang kesalahan umum dalam tatabahasa dan ejaan dalam bahasa Melayu.

Menurut Encik ‘Azimin Daud, Perancang Bahasa DBP yang bertindak selaku moderator program tersebut, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) telah digunakan oleh seantero dunia dan hingga kini, Jendela DBP pula telah diakses oleh 14 buah negara.

YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah, Ketua Akademi DBP semasa menjelaskan fungsi Akademi DBP dan kursus-kursus yang ditawarkan.
Penonton menjawab soalan kuiz ejaan oleh Cikgu Zack Kirana.

Selain perkongsian ilmu oleh Cikgu Zack Kirana, sesi kuiz bahasa Melayu juga diadakan untuk mengenal pasti ejaan yang betul. Hadiah berupa senaskhah buku terbitan DBP diberi kepada penonton yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan betul.

Antara perkataan yang dikenal pasti ejaannya yang tepat termasuklah mi, reda, kuetiau dan kemik. Menurut Cikgu Zack Kirana, sekiranya meletakkan dua kali huruf vokal dalam satu kata, kedua-dua huruf vokal yang duduk bersebelahan itu mestilah dibunyikan. Contohnya, perkataan seperti taala, kuetiau dan suun.

Contoh bagi kata pinjaman dalam bahasa Mandarin, iaitu kuetiau juga sering mengalami kesalahan ejaan. Menurut Cikgu Zack Kirana, perkataan seperti kuetiau dan kuasa merupakan vokal bergabung yang mempunyai penyenyapan huruf w dan y. Ujarnya, “Inilah yang kita panggil vokal bergabung dalam bahasa Melayu”.

Selain itu, Cikgu Zack Kirana turut menjelaskan tentang sistem ejaan bagi kata ganda berentak. Menurut beliau, bagi menentukan kata ganda berentak sama ada perlu diletakkan tanda sempang ataupun tidak, lihatlah kata yang kedua. Sekiranya kata tersebut mempunyai makna, maka kata ganda berentak tersebut tidak perlu diletakkan tanda sempang. Contohnya, lalu lintas dan semak samun.

Walau bagaimanapun, bagi kata kedua yang tidak mempunyai makna, kata ganda berentak itu mestilah diletakkan tanda sempang. Contohnya, sayur-mayur, dan gunung-ganang. Kata kedua dalam kata ganda berentak itu seperti mayur dan ganang tidak mempunyai makna dan memerlukan kata di hadapannya untuk berdiri. Oleh itu, tanda sempang diperlukan antara kata ganda berentak tersebut.

Oleh itu, bagi menjawab sebarang persoalan mengenai ejaan yang tepat bagi sesuatu kata, pengguna bahasa Melayu boleh melayari laman sesawang PRPM atau merujuk Kamus Dewan dan Kamus Dewan Perdana.

Antara penonton yang hadir menjawab soalan kuiz ejaan yang diberi oleh Cikgu Zack Kirana di pentas utama.

Untuk rekod, Akademi DBP menyediakan pelbagai jenis kursus yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan. Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP bolehlah melayari laman sesawang https://akademi.dbp.my/ untuk maklumat lanjut.

Encik Wahyu bertanyakan mengenai kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP.
Program Sembang Akademi DBP bersama dengan Cikgu Zack Kirana mendapat sambutan yang amat baik daripada penonton yang hadir di PWTC.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.