9 Jun 2023, 18:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Terengganu – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail dan pegawainya.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil berharap agar DBP Wilayah Timur terus menyemarakkan program kebahasaan dan kesusasteraan di Terengganu. Kunjungan selama satu jam itu membincangkan mengenai penganjuran Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan  Negeri Terengganu.
Beliau berkata, pentadbirannya akan berusaha untuk menjayakan program pidato yang bakal diadakan nanti. Pertandingan secara terbuka yang melibatkan jabatan kerajaan persekutuan dan negeri ini diharapkan dapat menyatukan hubungan antara jabatan di negeri Terengganu.
Pertandingan ini juga diharapkan mampu memberikan maklumat dan mengembangkan  dasar-dasar kerajaan negeri dan persekutuan agar dapat dihayati sepenuhnya oleh penjawat awam.
Yang turut dibincangkan ialah mengenai Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI), Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK), dan Anugerah Bitara Bahasa Terengganu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong program HASDI yang diadakan secara dwitahunan yang diselenggarakan oleh PELITA. Program ini telah memberikan manfaat yang besar kepada para penulis dan sasterawan di Terengganu.
HASDI juga diharapkan menjadi pemangkin kepada pemantapan penulis dan pembinaan bakat baharu dalam kalangan generasi muda. Justeru, beliau dan pentadbirannya akan terus mempertahankan pelaksanaan HASDI yang merupakan pengiktirafan tertinggi peringkat negeri kepada penulis.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil menyampaikan cenderamata kepada Puan Ariza Che Ismail.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.