Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Pakar rujuk tulisan Jawi dan pakar penyelidik bahasa, Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah di Hospital Shah Alam pada pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsi oleh mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerusi laman sosial Facebooknya.
Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman pernah dilantik sebagai karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia selain aktif menulis dan menghasilkan karya penyelidikan berkaitan dengan tulisan Jawi dan bahasa.
Beliau merupakan seorang daripada pakar rujuk yang dilantik oleh DBP dalam menghasilkan siri rujukan seperti Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan. Antara karya beliau yang lain termasuklah Panduan Menulis dan Mengeja Jawi, Siri Cinta Jawi: Abu Nawas Mati.
Selain itu, beliau juga sering diundang sebagai pakar rujuk, pembimbing siri bengkel tulisan Jawi dan pembentang kertas kerja dalam pelbagai seminar oleh agensi seperti DBP, Perpustakaan Negara Malaysia, Radio IKIM dan lain-lain.
Sumbangan dan khidmat bakti beliau khususnya dalam bidang tulisan Jawi dan penyelidikan bahasa di negara kita amatlah besar. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala dan nikmat syurga atas segala komitmen, jasa dan sumbangan Allayarham Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman semasa hayatnya.