Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBintulu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menganjurkan Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah di Perpustakaan Awam, BDA pada 16 Jun 2023. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun BDA yang ke-45, DBP ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Sebanyak 20 orang murid sekolah rendah dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dari daerah Bintulu, Tatau/Sebauh dan Belaga telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan Pantas Jawi ini juga untuk menguji tahap penguasaan para peserta terhadap ejaan Jawi. Perkara ini jelas ditunjukkan apabila mereka dikehendaki mengeja perkataan berdasarkan huruf Jawi dalam masa 30 saat sahaja.
Selain menyemarakkan minat dan menggalakkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar sekolah, pertandingan ini juga bertujuan untuk memupuk jati diri dan mengekalkan tradisi bangsa kepada anak muda khususnya di Bahagian Bintulu.
Tambahan pula, perkataan yang diberikan kepada para peserta merangkumi kata asal bahasa Melayu dan kata serapan daripada bahasa asing. Pertandingan ini diadili oleh dua orang panel hakim, iaitu Puan Askhairunisa Alwi dan Encik Mohamad Faizal Jamil.
Pertandingan Pantas Jawi merupakan satu kegiatan daripada 31 kegiatan yang dilaksanakan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak yang dilaksanakan bermula dari 12 Jun hingga 17 Jun 2023 yang berfungsi untuk menyebarkan peranan DBP dalam memellihara tulisan Jawi sebagai citra kebangsaan.
Johan Pertandingan Pantas Jawi dimenangi oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abun Matu, Belaga, manakala naib johan pula dari SK Bintulu. Murid SK Kampung Baru pula mendapat tempat ketiga, manakala penerima hadiah sagu hati masing-masing merupakan murid dari SK Bintulu dan SK Orang Kaya Mohammad.
Pemenang pertandingan ini membawa pulang hadiah wang tunai, buku terbitan DBP, plak sumbangan BDA dan watikah pengiktirafan yang disampaikan oleh Pengurus Besar BDA, iaitu YBhg. Datu Muhamad Yakub Kari.


Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol