22 Jun 2023, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hasil karya terbitan DBP mempunyai kritikan sosial yang sangat mendalam dan memberikan kesan yang cukup besar kepada masyarakat seperti karya Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan dan SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang patut dibaca oleh pelajar sekolah.

Hasil karya tersebut merupakan refleksi kepada banyak faktor yang mampu melahirkan tokoh multidimensi hanya dengan kekuatan budaya membaca. Tokoh multidimensi ini sebenarnya terdapat dalam kalangan tokoh SN, iaitu mereka bukan sahaja penulis, pendakwah, penulis kritik sosial yang “tajam” tetapi juga memperkaya bahasa, budaya dan seni dalam konteks masing-masing.

Demikian antara inti pati ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-67 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Selain itu, bersempena dengan majlis ini juga diadakan majlis pelancaran buku Gaya Dewan Edisi Keempat dan Portal E-Wadah.

Majlis anjuran DBP melalui Bahagian Komunikasi Korporat ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Pkharuddin Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP), ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, mantan Ketua Pengarah DBP, pengarah-pengarah jabatan, pengarah cawangan dan wilayah DBP, sasterawan negara, pegawai kanan kementerian, ketua-ketua bahagian DBP, tetamu kenamaan, petugas media, para pelajar dan guru serta para karyawan DBP.

Menurut YB Fadhlina Sidek, jangka masa 67 tahun ini merupakan refleksi yang sukar untuk diteruskan kerja pengembangan bahasa tanpa kerjasama yang kukuh daripada DBP.

Pemilihan slogan ‘Nama dari suatu sejarah’ sebagai bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP pada tahun ini amat signifikan kerana kelahiran organisasi ini atas desakan daripada kesaktian lidah rakyat yang menuntut kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perjuangan para pemuka dan generasi pendahulu organisasi ini bukan kepalang tanggung kobar semangatnya.

Tambahnya lagi, lirik lagu Dewan Bahasa juga begitu indah kerana ditulis oleh SN. Bagi menguatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah dan dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul, beliau juga berharap agar selepas ini penulisan lirik lagu dapat ditulis oleh SN.

Lirik lagu Dewan Bahasa ini seharusnya dikongsikan juga dengan sekolah-sekolah supaya mereka tahu tentang apa-apa yang ditulis dan dihasratkan oleh pihak DBP. Untuk itu, mulai tahun depan, saya berharap agar DBP mula turun ke sekolah-sekolah untuk sama-sama memperingati dan meraikan ulang tahun ini dengan para pelajar di sekolah-sekolah. Saya juga berharap agar ada tokoh-tokoh bahasa dan budaya ditempatkan di dalam Dewan Negara untuk bercakap tentang soal bahasa dan memperkenalkan suasana perdebatan yang tinggi sifatnya dari segi bahasa dan penguasaan dewan secara keseluruhannya.

Menurutnya lagi, DBP banyak mengadakan prakarsa dan program dekad bahasa dan dekad membaca yang bertujuan untuk kepentingan bahasa. Semua program ini tidak akan berjaya tanpa adanya “pembudayaan”. Aspek pembudayaan ini sangat penting kerana beliau turut membesar dalam pembudayaan ilmu dan intelektual, iaitu pembudayaan bahasa Melayu perlu diucapkan dengan penuh kebanggaan.

Kita boleh terus hidup sebagai bangsa yang kuat dengan mengamalkan jati diri masing-masing tetapi kita boleh membina negara ini dengan lebih baik dalam bingkai kesatuan. Kepelbagaian itulah yang akan menjadikan kita lebih kuat sebagai satu bangsa tetapi dalam bingkai kesatuan yang sama, antara lainnya termasuklah bahasa yang akan terus menjadi tali yang erat mengikat kita semua sebagai satu bangsa.

Terdahulu dalam majlis yang sama, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam ucapan alu-aluannya turut menjelaskan bahawa DBP akan memperluas fungsinya daripada hal pembinaan, pengembangan dan penerbitan kepada satu ranah yang baharu, iaitu penguatkuasaan, perniagaan, pengantarabangsaan, dan pengiktirafan bahasa, sastera dan persuratan.

Marilah kita menilai diri kita sendiri dan bersikap terbuka untuk menerima nasihat, teguran dan pandangan daripada semua pihak yang bukan sahaja daripada DBP tetapi juga pengguna bahasa Melayu. DBP sentiasa akan melakukan penjajaran mengikut keadaan semasa dan perubahan zaman.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Majlis pelancaran buku Gaya Dewan Edisi Keempat yang dirasmikan oleh YB Fadhlina Sidek.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.