Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur telah menganjurkan Taklimat Penulisan Artikel dalam Majalah Milik DBP pada hari ini di Dewan Serbaguna, Office of International Affairs (OIA), UiTM Shah Alam.
Profesor Madya Dr. Aini Akmar Mohd Kasim, Koordinator Unit Penyelidikan dan Penerbitan APB, yang mewakili Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Profesor Dr. Janudin Sardi telah menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan taklimat tersebut.
Sebanyak 36 orang pensyarah UiTM Shah Alam daripada pelbagai bidang menghadiri taklimat ini selain turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Faizah Syed Mohammed, Dekan Penyelidikan dan Inovasi Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM.
Taklimat ini dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan para pensyarah dengan 11 majalah terbitan DBP dan proses penerbitan artikel dalam majalah milik DBP.
Sehubungan dengan itu, sesi taklimat yang berkaitan dengan majalah telah disampaikan oleh dua orang penceramah dari Bahagian Majalah, iaitu Puan Yusaida Yusof, yang merupakan Editor Dewan Bahasa dan Encik Muhammad Lutfi Zahid, Editor Dewan Budaya. Para peserta juga telah diberikan majalah terbitan DBP sebagai cenderamata.
Taklimat ini juga telah menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada para peserta. Puan Haslinda Md Isa, pensyarah Bahasa Perancis, selaku Penyelaras Korporat APB juga telah menghadiri taklimat ini. Beliau telah berkongsi maklum balasnya terhadap taklimat ini dengan menyatakan bahawa pengisian taklimat ini sangat bagus dan turut berasa seronok melihat peluang penerbitan di majalah milik DBP tersebut.
Sesi soal jawab sepanjang taklimat juga sangat aktif. Para peserta dilihat sangat teruja dan berminat untuk mengetahui dengan lebih jelas hal yang berkaitan dengan penerbitan dengan 11 majalah terbitan DBP.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar. Semoga taklimat ini akan menjadi pembakar semangat kepada para pensyarah untuk menulis dan menerbitkan artikel bagi menyerlahkan nama UiTM.