4 Julai 2023, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM), anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Jalan Batu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung pada hari ini di Dewan SK Lelaki Jalan Batu, Kuala Lumpur.

Majlis ini disempurnakan oleh Puan Roslinawati Yusoff, guru besar SK Lelaki Jalan Batu dan diserikan lagi dengan kehadiran Puan Filzah Ibrahim dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, serta para pelajar pendidikan khas.

Menurut Puan Roslinawati, program NILAM ini bermatlamat untuk menjunjung aspirasi bagi terus memupuk budaya serta semangat membaca dan penghayatan terhadap identiti nasional seluruh rakyat Malaysia.

Tambah beliau, pelaksanaan program membaca seperti ini akan dapat memupuk penghayatan masyarakatdalam kecintaan ilmu. Program NILAM juga mengutamakan penglibatan pelajar pelbagai kaum yang turut berperanan dalam menyemai semangat mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan demi merealisasikan agenda Malaysia Madani.

Beliau juga berharap agar kerjasama strategik antara SK Lelaki Jalan Batu dengan DBP perlu diperbanyak dan dipergiat supaya usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan budaya mencintai amalan membaca dalam kalangan pelajar berbilang bangsa dapat terus dipertingkatkan dan disemarakkan. Usaha menghayatinya pada segenap peringkat perlu dilaksanakan demi melahirkan generasi yang mencintai dan menjunjung ilmu pengetahuan.

Sepanjang program NILAM ini berlangsung, beberapa pertandingan turut diadakan. Antaranya termasuklah Pertandingan Rekod NILAM Terbanyak 2023, Pertandingan Video Mini Perpustakaan dan Pertandingan Sudut Nilam Terbaik yang meliputi kategori pelajar pendidikan khas.

Program NILAM ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa dan persuratan Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pembinaan jati diri dan citra bangsa serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Puan Roslinawati Yusoff, guru besar sekolah (berbaju merah) dan Puan Filzah Ibrahim dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP (berbaju biru) bersama-sama guru serta para pelajar pendidikan khas.
Puan Roslinawati Yusoff ketika memberikan ucapan.
Puan Roslinawati Yusoff dan Puan Filzah Ibrahim bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.