Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTawau – Dalam usaha mengembangkan, mengukuhkan dan memantapkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, DBP, Akademi DBP, Majlis Perbandaran Tawau, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, Tawau telah menganjurkan Wacana Penegasan Bahasa di Bilik Mesyuarat, SMK Titingan, Tawau pada 4 Julai 2023.
Sebanyak 53 orang peserta daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan menghadiri wacana ini.
Wacana dimulakan dengan sesi taklimat oleh Puan Fadhilah Ab. Bahar, wakil Bahagian Penguatkuasaan, DBP. Beliau berharap agar seluruh PBT negeri Sabah dapat berganding bahu bersama-sama DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam paparan awam seperti gegantung, papan tanda, poster, penamaan bangunan dan penamaan tempat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul.
Dalam sesi taklimat ringkas selama dua jam tersebut, para peserta diberi penerangan tentang cara membuat permohonan Khidmat DBP Sah Bahasa melalui aplikasi dbpsahbahasa.my dan turut memaparkan contoh kesalahan iklan yang sering digunakan oleh pelanggan.
Pihak DBP juga berharap agar seluruh PBT Sabah dan WP Labuan dapat memantapkan dan meningkatkan lagi permohonan pengesahan iklan secara dalam talian.
Wacana selama sehari ini disertai oleh pegawai eksekutif dan wakil PBT negeri Sabah dan WP Labuan diteruskan lagi dengan pembimbing undangan, iaitu Encik Abd. Karim A. Bakar, Munsyi Dewan Bahasa dengan slot “Bahasa dan Martabat Bangsa”, “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa”.
Perkongsian yang santai tetapi mantap daripada pembimbing mencapai objektif penganjurannya apabila peserta memberikan maklum balas yang positif dalam Borang Penilaian Kursus yang diedarkan.
Wacana tersebut diakhiri dengan sesi latihan asas tatabahasa Melayu dalam penulisan dokumen rasmi dan sesi soal jawab.
Untuk rekod, wacana ini diadakan untuk menyebarluaskan keperluan menggunakan bahasa Melayu dalam paparan awam dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi selaras dengan Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.