5 Julai 2023, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 20 orang pelajar antarabangsa dari negara China telah diraikan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia–China (PPMC), dalam satu majlis makan malam di Restoran Rebung Chef Ismail.

Antara tujuan program tersebut termasuklah untuk memberikan peluang kepada para pelajar berkenaan untuk merasai keunikan makanan tradisional Melayu sebagai sokongan kepada mereka yang sedang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROBERM), di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Dato Abdul Majid Khan, Presiden PPMC menerusi ucapannya memaklumkan bahawa majlis makan malam tersebut sebagai satu usaha untuk menyokong para pelajar tersebut untuk lebih memahami budaya Melayu dan bukan sekadar melalui penguasaan bahasa sahaja. Hal itu secara langsung memberikan peluang kepada para pelajar mendekati budaya dan adat resam orang Melayu melalui makanan tradisional mereka.

Beliau juga berharap agar para pelajar tersebut dapat menguar-uarkan tentang persahabatan yang baik yang terjalin antara negara Malaysia dan China.

Para pelajar yang diraikan juga berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dan beramah mesra dengan Dato Chef Ismail yang telah berkongsi ilmu berkaitan dengan makanan dan cara masakan tradisional orang Melayu.

Majlis makan makan tersebut turut dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi universiti tempatan khasnya dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. PPMC yakin bahawa melalui usaha ini juga dapat merapatkan hubungan belia Malaysia dan China dalam memperkukuh persahabatan antara dua buah negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.