6 Julai 2023, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Minggu Bahasa Melayu, SJK (T) Taman Melawati telah mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Membaca dan program Majalah dalam Kelas (MDK) Dewan Pelajar pada 5 Julai 2023. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan bahasa Melayu telah dirancang hasil usaha sama pihak sekolah bersama-sama Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola SJK (T) Taman Melawati, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK (T) Taman Melawati dan Persatuan Bekas Murid SJK (T) Taman Melawati.

YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku perasmi majlis pelancaran program memuji usaha pihak sekolah dalam memartabatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di sekolah ini. Kejayaan pihak sekolah menganjurkan program ini menunjukkan bahawa tiada halangan untuk memartabatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu bukanlah bahasa pengantar utama di sekolah ini.

MDK juga memberikan nilai tambah dalam kaedah pengajaran para guru di dalam kelas. Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Rosmani turut mengajak guru-guru agar menggunakan majalah terbitan DBP untuk meningkatkan budaya membaca di sekolah serta menjadi sumber rujukan yang bermanfaat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana terdapat sisipan ruangan yang mengandungi bahan bimbingan pembelajaran dan latihan oleh pakar bidang, guru cemerlang dan Munsyi Dewan.

Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah semasa merasmikan program Kempen Membaca bersempena dengan Minggu Bahasa Melayu di SJKT Taman Melawati.

Beberapa orang editor Bahagian Majalah telah diundang untuk menjayakan program MDK bagi menarik minat murid untuk memperkasakan bahasa Melayu. Bertepatan dengan anjuran Minggu Bahasa Melayu, program yang menggunakan majalah Dewan Pelajar sebagai medium utama ini memberikan pendedahan kepada murid tentang penggunaan majalah di dalam kelas untuk meningkatkan prestasi bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah. Secara tidak langsung, murid-murid didedahkan dengan pelbagai maklumat tambahan yang terdapat dalam majalah ini yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Puan Siti Noorisa Abdul Khlil (editor majalah) sedang memberikan penerangan tentang majalah Dewan Pelajar kepada peserta yang terlibat.

 

Murid-murid sedang melakukan aktiviti berkumpulan, iaitu slot “Biasakan yang Betul dan Betulkan yang Biasa”.

Program MDK bermatlamat untuk memperkenalkan majalah Dewan Pelajar secara langsung kepada murid dan guru. Pendekatan didik hibur melalui program ini secara tidak langsung membantu memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid. Dengan bimbingan para editor berpengalaman, murid-murid didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul melalui aktiviti yang dilaksanakan. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah sesi taklimat berkaitan dengan majalah Dewan Pelajar, slot “Biasakan yang Betul dan Betulkan yang Biasa”, aktiviti membina perkataan melalui satu perkataan dan Kuiz Menara Belon.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, serta Pengerusi Persatuan Bekas Murid Sekolah sebagai tanda sokongan atas kerjasama antara pihak sekolah dengan pihak DBP. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada tiga kumpulan terbaik dan sijil penyertaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.