12 Julai 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Penulisan cerpen yang berkesan dapat dihasilkan melalui pematuhan oleh penulis tentang ciri yang ada dalam cerpen terlebih dahulu agar dapat meninggalkan impak kepada pembaca. Impak yang ditinggalkan itulah yang menjadi kayu ukur sama ada penulis itu kreatif ataupun penulisannya itu berjaya atau tidak. Demikianlah antara inti pati ucapan Puan Ruhaini Mat Darin, seorang penulis prolifik Sabah yang telah diundang sebagai pembimbing untuk bengkel Bimbingan Penulisan Cerpen Peringkat Daerah Penampang.

Bengkel yang dimulakan dengan sesi pengenalan berkenaan dengan asas penulisan sebuah cerpen telah dihadiri oleh 30 orang guru dari Pejabat Pendidikan Daerah Penampang di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada pagi semalam.

Bengkel ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Penampang bagi membentuk barisan guru ini dengan kemahiran menulis cerpen di samping memperkukuh ilmu untuk menghasilkan cerpen yang berkesan. Perkongsian ini juga akan disebar luas kepada para pelajar untuk memupuk minat mereka dan melahirkan generasi kreatif pada masa akan datang.

Pada sesi kedua, para peserta diminta untuk membuat perkongsian sama ada tentang novel ataupun cerpen yang paling diingati. Sebelum itu, Puan Ruhaini memulakan berkongsi dengan para peserta tentang buku Hikayat Seribu Satu Malam, yang merupakan karya wajib dibaca oleh para penulis dan pencinta sastera. Hal ini demikian kerana karya ini merupakan karya malar segar yang elemennya mempengaruhi perkembangan kesusasteraan Melayu, yang juga membentuk para penulis di Malaysia.

Setiap bahan bacaan yang dikongsikan, menurut Ruhaini akan menentukan genre dan identiti seseorang penulis. Oleh yang demikian, para penulis boleh mencungkil seberapa banyak idea dan pengalaman untuk diterjemahkan dalam penulisan melalui cara yang tersendiri.

Melalui bengkel ini juga, DBP Cawangan Sabah berharap agar penulis yang berkualiti akan lahir seperti cendawan tumbuh selepas hujan, khususnya di Sabah.

Sesi penyerahan sijil penghargaan daripada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Penampang kepada Puan Ruhaini Mat Darin.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.