Oleh Sara Beden
12 Julai 2023, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Ilmu perkamusan dan peristilahan amat penting kepada semua bakal guru khususnya guru yang akan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, penguasaan terhadap peristilahan menzahirkan kompetensi seorang guru yang memiliki kekayaan perbendaharaan kata yang mengupayakannya untuk menyalurkan dan menyampaikan ilmu kepada anak didiknya dengan berkesan.

Demikian inti pati ucapan yang disampaikan oleh Dr. Yusminah Mohd Yusof, iaitu Timbalan Pengarah IPGKTAR dalam ucapan alu-aluannya menerusi Program Bersahabat dengan Kamus, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau turut menegaskan bahawa Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang telah diusahakan DBP merupakan gerbang ilmu secara maya yang wajar dimanfaatkan secara optimum pada era Revolusi Industri 4.0 ini.

Program Bersahabat dengan Kamus yang berlangsung pada hari ini di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) melibatkan sebanyak 188 orang guru pelatih Major Bahasa Melayu dan lima orang pensyarah IPGKTAR.

Program yang dikendalikan oleh Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Kuala Lumpur ini telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan guru pelatih kerana memberikan pelbagai manfaat kepada mereka sebagai bakal guru bahasa Melayu.

Ilmu perkamusan dan peristilahan ini telah dikongsikan oleh tiga orang penceramah dari Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, iaitu Puan Rohana Abdul Rahman, Puan Siti Norsuhaila Samsudin dan Puan Nor Atikah Buang.

Pada sesi pertama, para peserta telah mengikuti ceramah tentang “Asas Perkamusan” oleh Puan Rohana Abdul Rahman. Perkongsian ini memberikan maklumat yang mendalam kepada guru pelatih tentang bidang leksikografi dan leksikologi, serta usaha DBP dalam bidang perkamusan sejak tahun 1959.

Pada sesi kedua pula, Puan Siti Norsuhaila Samsudin berkongsi tentang “Penggunaan Kamus Dewan Perdana” yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2020. Tatacara tentang penggunaan Kamus Dewan Perdana yang telah diusahakan oleh DBP selama tiga dekad ini amat signifikan kepada pengguna dan pencinta bahasa untuk membuat rujukan dengan teknik yang betul. Kamus ini merupakan hasil produk DBP yang terlaris dan berimpak tinggi.

Pada sesi ketiga, para guru pelatih diberi pendedahan tentang peristilahan yang ada dalam PRPM dan Gerbang Kata DBP oleh Puan Nor Atikah Buang. PRPM dan Gerbang Kata DBP yang diusahakan secara maya sememangnya memberikan pelbagai manfaat kepada semua khalayak bahasa sama ada di Malaysia mahupun di dunia.

Program keilmuan ini sewajarnya diadakan secara berterusan demi kelestarian dan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bidang perkamusan Melayu yang diterajui oleh DBP memberdayakan masa depan negara dalam bidang bahasa, sekali gus menyumbang kepada pemartabatan bahasa Melayu.

Sesi penyampaian cenderamata kepada Puan Siti Norsuhaila Samsudin.
Para penceramah bergambar kenang-kenangan bersama-sama ahli jawatankuasa program.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.