Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Dalam era revolusi industri 4.0, guru-guru dilihat perlu memiliki pengetahuan yang mantap tentang ilmu perkamusan dan peristilahan. Hal ini penting untuk melahirkan guru yang kompeten bagi menyampaikan ilmu kepada murid dengan berkesan.
Demikianlah antara inti pati ucapan perasmian oleh Encik Philip anak Michael Meggong, iaitu Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, bersempena dengan Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) yang diadakan di IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak semalam.
Program BdK anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur melibatkan siswa guru Bahasa Melayu dari IPG Kampus Batu Lintang yang merupakan antara program jerayawara yang bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada ilmu perkamusan dan peristilahan.
Sementara itu, menurut Dr. Haji Zainal Abiddin Haji Masleh yang merupakan Pensyarah Cemerlang IPG Kampus Batu Lintang, juga merangkap Penyelaras Program BdK Peringkat IPG Kampus Batu Lintang, pihak kampus menyambut baik usaha DBP mengadakan perkongsian ilmu sebegini sebagai wadah mempersiapkan bakal guru dengan pengetahuan tentang bidang bahasa.
Tambah beliau, program ini dilihat sesuai sebagai persiapan untuk bakal guru yang akan mengambil kursus Perkamusan, Peristilahan dan Penterjemahan Bahasa Melayu pada semester akan datang
Pada sesi pertama program tersebut, para peserta didedahkan dengan ilmu perkamusan yang disampaikan oleh Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, DBP. Sesi pertama ini memfokuskan proses penghasilan kamus dan tatacara penggunaan kamus. Pada masa yang sama, para peserta turut diperkenalkan dengan Kamus Dewan Perdana yang merupakan kamus terbitan terkini DBP pada tahun 2020.
Pada sesi kedua perkongsian pula, Puan Syahidah Rashiqah Abdul Rashid, Perancang Bahasa Bahagian Perkamusan mendedahkan para peserta dengan proses peristilahan dan leksikologi dalam bahasa Melayu, yang juga merangkumi proses penciptaan istilah dalam bahasa Melayu.