Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam, Selangor pada petang semalam.
Antara tujuan kunjungan hormat tersebut termasuklah untuk membincangkan potensi yang boleh diteroka bersama bagi pemantapan kualiti insaniah para pelajar.
Perbincangan tersebut yang diadakan secara santai namun bermakna melibatkan IPGKBA yang diwakili oleh Dr. Mohd Ghazali Haji Taib (Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar), Siti Mazlin Abdul Rahman (Penolong Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar), Encik Amalul Ariffin (Ketua Unit Kolej Kediaman), serta tujuh orang wakil Ahli Majlis Tertinggi Pelajar.
Yang turut hadir bagi pihak FSR, UiTM ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Rahizam Abdul Rahim, iaitu Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Encik Mohd Harithz Rizal Ahmad Zahari (Pegawai Eksekutif FSR), Puan Jamiaton Kusrin (Pensyarah Kanan), Puan Noradlin Mohd Ali (pegawai FSR), serta dua orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar.
Menurut Dr. Mohd Ghazali, menerusi aktiviti pemerkasaan pelajar, kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua institusi ini boleh digabungjalinkan agar dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Beliau turut berpesan kepada bakal guru IPGKBA yang hadir bahawa pentingnya penyampaian ilmu yang berkesan melalui bahasa pengkhususan mereka dan keperluan mengendalikan aktiviti di luar kelas mahupun di dalam kelas dengan cara yang terbaik dan sempurna.
Pertemuan tersebut diakhiri dengan persetujuan dan komitmen bersama antara kedua-dua belah pihak untuk memacu kualiti insaniah pelajar yang berketerampilan, bersifat dinamik dan relevan bersama-sama masa.