Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBatu Pahat – Negeri Johor bakal menjadi perintis Pertandingan Sahibba Choopp Digital Bahasa Melayu di Malaysia sekiranya berjaya dilaksanakan pada bulan Oktober 2023 kelak. Demikian kata Puan Tads Mahar Ibnu Hajar, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), ketika berucap dalam Bengkel Panduan Penggunaan Sahibba Choopp Digital Bahasa Melayu Peringkat Negeri Johor baru-baru ini.
JPNJ menyokong usaha murni DBPWS menganjurkan Pertandingan Sahibba Choopp Digital dengan kerjasama Syarikat Permainan Malaysia (SPM) dalam usaha untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu menggunakan teknologi digital dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Sahibba digital merupakan permainan kata yang dapat merangsang otak dan meningkatkan daya fikir pelajar. Dengan demikian, hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia melahirkan masyarakat MADANI yang kritis dan inovatif akan terlaksana melalui pertandingan ini,” ujar beliau lagi.
Bengkel Sahibba digital ini diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan dihadiri oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah, serta pegawai PPD yang mewakili 11 daerah di negeri Johor.
Sehubungan dengan itu, Pengurus Acara dan Pemasaran Syarikat Permainan (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Kareno Zainal Abidin telah menunjuk cara penggunaan aplikasi Sahibba Choopp digital. Seterusnya, peserta turut diajar cara menggunakan aplikasi tersebut melalui sesi simulasi bagi memberikan pendedahan awal kepada guru-guru dan pegawai PPD, yang akan diajarkan kepada pelajar yang bakal menyertai pertandingan tersebut.
Bengkel panduan penggunaan Sahibba Choopp Digital berjaya mencapai matlamat kami untuk memberikan kefahaman dan panduan kepada para guru dan pegawai PPD yang hadir. Para peserta turut diberi pendedahan tentang kaedah pertandingan dan cara pengiraan markah.
“Yang menariknya, setiap perkataan yang dibina daripada Sahibba Choopp Digital ini berdasarkan perkataan yang terdapat di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Para pengguna boleh memuat naik aplikasi Sahibba Choopp melalui Play Store, dan hanya boleh digunakan untuk telefon pintar android sahaja,” kata Kareno.
Menurut Pengurus Projek Sahibba Choopp Digital Bahasa Melayu, Encik Razid Sahran, “Saya amat gembira melihat semangat dan inisiatif para guru yang hadir dalam bengkel ini. Usaha DBPWS membawa permainan ini ke peringkat sekolah di negeri Johor tidak sia-sia apabila mendapat sokongan padu daripada JPN Johor dan para guru serta pegawai PPD yang hadir mengikuti bengkel ini. DBPWS melihat bahawa penguasaan teknologi menjadi keperluan pada masa ini dan masa depan pelajar di negara kita”.
Sebelum ini, Pertandingan Sahibba diadakan secara konvensional menggunakan blok huruf yang dibina di atas papan Sahibba. Pada tahun 2023, kita membuat pembaharuan dengan menggunakan teknologi digital yang menggunakan telefon pintar sebagai medium utama Pertandingan Sahibba. Melalui pertandingan ini kelak, kami berharap para pelajar menjadi generasi yang kompeten dalam dunia digital yang semakin mencabar.
Beliau turut menambah bahawa pertandingan ini merupakan langkah yang tepat untuk membawa pelajar sekolah menerokai dunia permainan digital yang bermanfaat dan memberikan impak yang positif kepada pembangunan dan perkembangan bahasa Melayu dalam mendepani persaingan dunia digital.