Oleh Nazrul Aziz
28 Julai 2023, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wilayah Persekutuan Putrajaya – Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint (SKPP) 9 (2) telah dinobatkan sebagai Johan bersempena dengan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2023.

Pasukan yang bertindak selaku pencadang ini telah berjaya menewaskan SKPP 9 (1) A pada perlawanan sidang akhir dengan usul “Pascapandemik: Perpaduan Kita Kembali Teguh”.

Pembahas Terbaik Sidang Akhir telah dianugerahkan kepada Adrena Amani Azwad, murid Tahun 6 SKPP 9 (1) daripada pasukan pembangkang.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah trofi dan sijil penyertaan. Hadiah telah disampaikan oleh Puan Maizatul Arzia Omar, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurut Puan Lynn D’Amor Buquing, Hakim Sidang Akhir, setiap pembahas dinilai berdasarkan beberapa kriteria, iaitu isi, strategi, gaya dan bahasa. Selain itu, kesepakatan isi dan kekuatan hujah serta bukti-bukti yang menyokong setiap hujah turut dinilai dalam menentukan pemenang pertandingan.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum) Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya ini telah dikelolakan oleh SKPP 8 (3), serta mendapat kerjasama daripada Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11 (2).

Pertandingan ini telah disertai oleh 12 buah pasukan, iaitu SKPP 18 (1), SKPP 8 (3) B, SKPP 14 (1), SKPP 8 (1), SKPP 11 (1), SKPP 9 (1), SKPP 9 (2), SKPP 5 (1), SKPP 11 (2), SKPP 9 (1) A, SKPP 16 (1) dan SKPP 8 (3) A.

Antara objektif pertandingan ini termasuklah untuk melahirkan murid-murid yang bakal menjadi pemimpin yang berani dan berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara sopan dan spontan. Selain itu, pertandingan ini juga diadakan untuk melahirkan murid-murid yang berkemahiran mengutarakan hujah-hujah yang bernas dan teratur.

Pasukan SKPP 9 (2) akan mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya ke pertandingan peringkat kebangsaan kelak.

Barisan hakim Sidang Akhir Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2023.
Peserta Sidang Akhir bergambar kenangan bersama-sama para hakim Sidang Akhir.
Keputusan rasmi Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.