30 Julai 2023, 19:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bangi – Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur menjuarai pertandingan Debat Juara 2023 selepas menewaskan Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya pada pertandingan akhir Debat Juara 2023 di Auditorium Perpustakaan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), pada hari ini.
Dalam pertandingan akhir tersebut yang membincangkan usul, “Dewan ini akan mengukuhkan amalan keselamatan siber melalui perundangan, bukan pembudayaan”, pasukan debat Sekolah Menengah Sains Alam Shah berada di posisi pembangkang penutup, manakala pasukan Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya  berada di posisi pembangkang pembuka.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris dalam ucapannya berkata, “Pertandingan ini merupakan satu platform latihan yang berterusan untuk mengenal pasti permasalahan dan bagaimana kita menggerakkan idea untuk penambahbaikan yang lebih baik.”
Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UNITEN, dan Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Debat Juara 2023 ialah pertandingan yang julung-julung kalinya menemukan 16 pasukan debat terbaik sekolah di Malaysia, yang merangkumi sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama/sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara mengikut format Kejohanan Debat Universiti Dunia.
Pertandingan ini juga memberikan perspektif yang lebih segar kepada dunia perdebatan sebagai evolusi Bahas Piala Perdana Menteri, Debat Diraja dan kini Debat Juara. Dua pasukan kerajaan yang berbeza pendapat walaupun berkongsi  pendirian dan pasukan pembangkang juga merupakan dua pasukan berbeza yang membangkang  usul dengan perspektif berbeza.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Cyber Security Malaysia dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor, DBP, UNITEN dan Yayasan PEACE, serta rakan penyiaran Astro Awani dan Youth Xtion Movement.
Pelibatan DBP dalam penganjuran ini sungguh bermakna demi kelangsungan para pelajar khususnya pewaris pemimpin masa hadapan yang berhujah menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul.
Dr. Zokhri Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PEACE.
Barisan tetamu kehormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.