1 Ogos 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Likas – Sebanyak 46 orang pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Advent Goshen, Kota Marudu telah menyertai Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Program yang diadakan di Sudut Penulis, Kompleks Bangunan DBP Cawangan Sabah pada hari ini merupakan satu daripada aktiviti yang dilaksanakan bersempena dengan program “Lawatan Sambil Belajar” yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu, SM Advent Goshen.

Program dimulai dengan taklimat korporat mengenai aktiviti dan sejarah DBP Sabah yang disampaikan oleh pegawai daripada Unit Komunikasi Korporat. Ceramah dan aktiviti BdK pula dikendalikan oleh Puan Julianah Kuli, selaku Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sabah.

Ceramah dan aktiviti tersebut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada para peserta melalui pelibatan aktif mereka dalam aktiviti seperti Kuiz BdK, Carian Pantas, Jana Perkataan, dan Mengeja Perkataan yang Betul.

Program BdK pada kali ini turut dihadiri oleh Puan Herietha Rumpadon, selaku guru penasihat Persatuan Bahasa Melayu SM Advent Goshen, Kota Marudu.

Selain aktiviti BdK, Unit Pemasaran DBP Cawangan Sabah juga membuat jualan buku khas dengan menawarkan diskaun buku dan majalah yang sangat menarik. Guru pengiring dan para pelajar berasa teruja mengunjungi kedai buku DBP kerana ini merupakan pertama kali mereka menjejakkan kaki ke Kompleks Bangunan DBP)Cawangan Sabah. Program tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sesi bergambar beramai-ramai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.