9 Ogos 2023, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – “Perasaan gugup dan takut ketika berucap di hadapan penonton dihadapi oleh semua orang di dunia ini. Oleh itu, janganlah berasa malu jika ada perasaan sedemikian. Proses pembelajaran tanpa henti dan hasil pengalaman akan menjadikan seseorang itu lebih berani dan berkeyakinan. Teruskan berlatih dan berlatih.”

Demikian kata Encik Azhar Salleh, pembimbing Slot Komunikasi Sukses, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), yang diadakan di Auditorium Johor Tourist Information Center (JOTIC), baru-baru ini.

“Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara juga mengalami perasaan gugup sebelum menyampaikan persembahan di hadapan puluhan ribu penonton. Hal ini bukanlah suatu yang memalukan. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah persediaan awal sebelum mula berucap dan bertenang,” kata Azhar Salleh lagi.

Seterusnya, Azhar turut berkongsi Teknik Komunikasi Berkesan dengan 144 orang peserta yang terdiri daripada murid Tahun 4, 5 dan 6 sekolah rendah kerajaan, iaitu penceramah mestilah bersikap jujur ketika menyampaikan ucapan dan janganlah berkongsi maklumat yang tidak benar dengan khalayak. Hal ini boleh menghilangkan kepercayaan dan keyakinan khalayak kepada penceramah.

Sekiranya penceramah gagal menjawab pertanyaan khalayak, janganlah berasa cemas. Sebaliknya, penceramah boleh meminta maaf dan mengatakan bahawa pertanyaan tersebut akan dijawab selepas mendapatkan maklumat yang benar dan tepat daripada sumber yang sahih. Dengan demikian, khalayak akan lebih menghormati penceramah dan tingkat kepercayaan khalayak akan meningkat terhadap penceramah berbanding dengan memberikan jawapan yang tidak benar atau cuba mengelak dari menjawab pertanyaan tersebut.

Menurut Azhar, “Komunikasi berjaya apabila penceramah berjaya menarik perhatian penonton, suasana di dalam dewan tenang dan terkawal, khalayak mendapat maklumat yang benar, terdapat komunikasi dua hala antara penceramah dengan penonton, sesi soal jawab yang mencapah pemikiran dan saling menghormati antara kedua-dua belah pihak”.

“Penceramah juga mestilah menggunakan bahasa yang baik dan betul agar dapat membantu meningkat pemahaman penonton terhadap sesuatu yang diucapkannya. Selain itu, hubungan pandang (eye contact) dengan penonton sangat penting agar mereka tidak berasa tersisih,” tambah Azhar lagi.

Azhar turut berpesan kepada para peserta agar terus berlatih dan berlatih untuk membina keyakinan diri, seperti kata pepatah Melayu “Alah bisa tegal biasa”, iaitu perkara yang susah akan menjadi mudah dengan izin Allah yang Maha Esa.

Azhar Salleh merupakan SISC+ atau School Improvement Specialist Coach, yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Johor. Beliau juga merupakan Munsyi Dewan sejak tahun 2002 dan penceramah serta pembimbing Kursus Bahasa Melayu, Sastera dan Penerbitan untuk kakitangan sektor awam dan swasta.

Bengkel Komunikasi Sukses merupakan satu daripada pengisian bengkel bersempena dengan Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan baru-baru ini dan para peserta ditempatkan di Politeknik Ibrahim Sultan.

Encik Azhar Salleh, pembimbing Slot Komunikasi Sukses.
Peserta tekun mendengar perkongsian penceramah tentang komunikasi sukses.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.