Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPasir Gudang – Penganjuran Program Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah Rendah berjaya mencapah daya pemikiran dan kreativiti murid dalam mengangkat dan memperkasakan bahasa kebangsaan di negara ini.
Demikian menurut Pengarah Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Tuan Haji Md Said Md Daimon ketika merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Perkampungan Bahasa Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2023, di Auditorium Sekolah Seni Malaysia Johor, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu melahirkan murid yang bijak berbahasa, tinggi daya pemikiran dan mempunyai nilai murni yang tinggi dan akhlak yang baik berjaya dicapai melalui Program Perkampungan Bahasa 2023. Perkampungan bahasa pada kali ini menggabungjalinkan bahasa, komunikasi dan alam semula jadi. Murid dapat berinteraksi dengan alam melalui seni berbahasa yang indah dan berkesan serta mengaitkannya dengan nilai murni yang dapat membina kesedaran murid terhadap kepentingan menjaga alam semula jadi dan sayang akan alam yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
Tambah beliau lagi, usaha ini membuahkan hasil apabila murid yang terpilih pada kali ini berani tampil membentangkan hasil kerja mereka, berjaya mendeklamasi sajak ciptaan mereka dengan bersemangat, saling bekerjasama dengan baik dalam kumpulan walaupun berlainan negeri, bangsa dan agama, menghormati rakan, fasilitator dan guru pembimbing.
Harapan kita agar ilmu dan pengalaman yang mereka peroleh dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah. Maka itu, objektif kita tercapai dengan penganjuran program perkampungan bahasa pada kali ini.
Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Puan Illy Nadia Bahudin (Penolong Pengarah Unit Penggalakan dan Kokurikulum dan Seni Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM), Encik Mohd Rosli Mohd Othman (Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPNJ), Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan), Encik Tee Tiam Chai (Pengetua Sekolah Seni Malaysia Johor) dan tetamu kehormat lain.
Perkampungan Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan 2023 yang berlangsung selama empat hari tiga malam ini melibatkan sebanyak 144 orang peserta yang terdiri daripada murid Tahun 4, 5 dan 6 sekolah rendah kerajaan di seluruh negeri yang berkampung di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.
Antara pengisian program pada kali ini termasuklah Kenali Bahasa dan Alam: Bengkel Penulisan Puisi, Coretan Sajak: Lestari Suara Alam, Bicara Bahasa Lestari, Bengkel Penghasilan Video Deklamasi Sajak, Jom Singgah MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru): Pusat Penerangan Pelancongan Johor, Bengkel Komunikasi Sukses, Kenali Johor dan Lawatan ke Perpustakaan Sultan Ismail dan Persembahan Malam Gemala Lestari Suara Alam.