9 Ogos 2023, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2023 bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2023. Pertandingan tersebut yang melibatkan pelajar sekolah menengah ini berlangsung pada 9 Ogos 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP percaya bahawa pertandingan ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi lisan para pelajar.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan harapannya agar pertandingan pada kali ini dapat menjadi pendorong kepada semua peserta forum untuk menjadi pelajar yang lebih cemerlang.

Majlis ini pada pendapat saya cukup bererti dan membawa mesej yang jelas tentang pentingnya peranan semua pihak memartabatkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan kita sebagai satu daripada tonggak negara. Pertandingan ini merupakan satu daripada usaha DBP memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu melalui komunikasi lisan pelajar sekali gus menyokong Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025.

Beliau turut menghargai kesungguhan dan komitmen semua pihak yang memberikan sokongan padu kepada pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan yang menjadi satu daripada asas dan sendi tamadun bangsa dan negara.

Antara peserta yang terlibat dalam Pertandingan Forum Remaja peringkat Kebangsaan 2023.

Antara objektif utama pertandingan ini termasuklah untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah dan melahirkan model penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, serta berkesan dari segi penggunaan tatabahasa, ketepatan sebutan dan gaya penyampaiannya.

Di samping itu juga, kemahiran komunikasi lisan para pelajar dapat dipertingkatkan serta dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berketerampilan. Hal ini demikian kerana pelajar diasah dengan kebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM7100.00 ini melibatkan 14 buah negeri/wilayah diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Ketua Juri), Tuan Hj. Razali Che Mat (Pengarah Dasar dan Penyelidikan DBP), Encik Mohd Azhar Yahya (Setiausaha Agung, Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat), Dr. Simah Mamat (Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya) dan Datin Shazalila Samsudin (Pegawai Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.