Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah menjuarai pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2023 dengan menewaskan 13 buah sekolah lain pada pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini.
Pertandingan forum ini telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 9 Ogos 2023 dan 10 Ogos 2023 yang merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dengan tajuk forum “Peranan Selia dalam Mempertahankan Kedaulatan Negara”, SMK Tawau, Sabah membawa pulang wang tunai RM2500.00, piala pusingan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Riam, Sarawak, dengan tajuk forum “Pempengaruh Media Sosial sebagai Idola”, yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1500.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Senggarang, Johor, dengan tajuk forum “Beg Sekolah Berat: Usaha Pendigitalan Memudahkan Pelajar” yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Tiga pasukan yang memenangi hadiah sagu hati pula ialah Kolej Genius Insan, Negeri Sembilan, SMK (A) Dato’ Hj Abbas, Kuala Nerus, Terengganu dan SMK Tun Syed Zahiruddin, Melaka, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Anugerah Pengerusi Forum Terbaik pula milik Nur Hannah Nawwarah Ramlan, yang juga dari SMK Tawau, Sabah. Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Sementara itu, Anugerah Ahli Forum Terbaik pula dirangkul oleh ahli forum dari SMK Riam, Sarawak, iaitu Augustine Matteus Anak Roland yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.