Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2023 merupakan “pentas utama” bagi pemerkasaan bahasa Melayu khususnya yang melibatkan golongan pelajar sekolah menengah yang merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa di hadapan dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya yang melibatkan golongan pelajar sekolah.
Hal ini amat penting disebabkan oleh usaha menyemai dan membina keyakinan pelajar untuk berkomunikasi aras tinggi dalam bahasa Melayu perlu bermula dari bangku sekolah lagi.
Demikian antara inti pati ucapan YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM, ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2023 pada pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Pertandingan yang diadakan ini bukan hanya menekankan aspek penguasaan bahasa semata-mata, sebaliknya sarat dengan pemantapan dalam pembinaan keterampilan, sahsiah dan akhlak terpuji seseorang insan. Hal ini bertepatan dengan teras kedua KPM, iaitu memberikan penekanan pada aspek pembinaan karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak, dan integriti yang amat ditekankan dalam usaha membangunkan negara MADANI di bumi bertuah ini.
Menurut Ketua Pengarah DBP, iaitu YBhg. Dr. Haji Hazami Jahari, penganjuran program sebegini merupakan satu daripada usaha berterusan untuk memastikan DBP menjadi “gelanggang dan medan” kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha pembinaan tamadun bangsa di negara tercinta ini.
Tambahnya lagi, program ini bertujuan memberikan pemugaran kepada golongan muda untuk terus komited serta bergerak secara sederap dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia.
Bagi pihak DBP, kami akan terus menyokong teras KPM dengan memberikan penekanan pada pembentukan karakter, adab, akhlak, disiplin, dan integriti melalui penganjuran pertandingan seperti ini. DBP akan terus menggiatkan lagi program mencungkil dan membina bakat berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam kalangan pelajar sekolah serta masyarakat umum.
Pertandingan forum ini telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 9 Ogos 2023 dan 10 Ogos 2023 yang merupakan kerjasama antara DBP dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM telah menobatkan SMK Tawau, Sabah sebagai juara pertandingan dengan menewaskan 13 buah sekolah lain.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah Tuan Haji Razali Che’ Mat (Pengarah Dasar dan Penyelidikan DBP) dan ketua-ketua bahagian DBP. Yang turut hadir termasuklah para tetamu kehormat, para jemputan, karyawan DBP, guru pengiring, serta pelajar sekolah.