Oleh Fenny Liging
12 Ogos 2023, 20:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Papar – Suku kaum Dusun Malapi menetap di kawasan yang jaraknya lebih kurang 50 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah. Suku kaum ini antara yang hampir pupus di Sabah. Maka itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah melaksanakan program “Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi” melalui tajaan Kerajaan Negeri Sabah di Hidden Paradise Resort, Papar pada 10 Ogos dan 11 Ogos 2023.

Kajian yang telah dilaksanakan baru-baru ini merupakan susulan daripada kajian lapangan yang telah dilaksanakan pada 12 Oktober hingga 16 Oktober 2022.

Antara objektif pelaksanaan program termasuklah untuk memperkaya kosa kata bahasa sukuan Sabah, mendokumentasikan hasil penyelidikan tentang budaya dan bahasa Dusun Malapi, mengekalkan jumlah bahasa etnik di Sabah, dan melahirkan warga DBP yang berketerampilan dalam penyelidikan bahasa melalui bimbingan fasilitator atau rakan penyelidik.

Para penyelidik bergambar kenangan sewaktu sesi penutupan kajian lapangan.

Program yang berlangsung selama dua hari ini diketuai oleh Perancang Bahasa dari DBP Cawangan Sabah, iaitu Puan Julianah Kuli sebagai pegawai projek. Selain itu, sebanyak tiga orang pensyarah dari IPG Kampus Gaya, tujuh staf dari DBP Cawangan Sabah, seorang pembantu penyelidik dan 12 informan daripada etnik Dusun Malapi turut menyertai program ini.

Sesi pada kali ini diadakan untuk memurnikan bahan kajian yang telah dikumpulkan pada sesi yang lalu dan akan diteruskan dengan penulisan hasil kajian.

Semoga kerjasama yang erat antara kumpulan penyelidik dengan informan dapat mempercepatkan dan merealisasikan penerbitan buku tentang budaya dan bahasa etnik Dusun Malapi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.