16 Ogos 2023, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru Karnival Bitara Bahasa Negara yang telah berlangsung selama empat hari berturut-turut di Plaza Angsana Johor Bahru (Angsana Johor Bahru Mall) baru-baru ini mendapat sambutan yang hangat dan luar biasa daripada masyarakat di negeri Johor.

Karnival yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Angsana Johor Bahru Mall bersempena dengan Hari Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023 itu telah memukau pengunjung yang hadir dari segenap daerah dengan pelbagai aktiviti, pertandingan dan pengisian yang sangat menarik dan bermakna.

Rakan sinergi seperti Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (GPMM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Johor Bahru, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), IKRAM Teens Johor, Syarikat Sinar Ilmu dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor turut membantu memeriahkan lagi karnival pada kali ini.

Karnival Bitara Bahasa Negara 2023 yang berakhir semalam menutup tirainya dengan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, yang disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.

Dalam ucap utamanya itu, beliau mengatakan bahawa kaedah penganjuran yang berkonsepkan “gotong-royong” seumpama ini merupakan contoh yang harus diteladani dalam usaha mengangkat kedudukan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang.

Karnival seumpama ini juga wajar diadakan lagi pada masa akan datang agar dapat mengeratkan silaturahim sesama rakyat Johor yang berbilang bangsa serta mampu meningkatkan kesedaran khalayak khususnya generasi muda pada masa ini tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.

Sementara itu, menurut Encik Razid Sahran, selaku ketua projek berkata, “Semua warga Malaysia berperanan sebagai pelaksana dan pengamal bahasa Melayu dalam usaha mendaulatkan dan memperkasakan bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan. Lantaran itu, Karnival Bitara Bahasa Negara ini merupakan satu platform bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat agar lebih mahir berkomunikasi, seterusnya dapat mengukuhkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini”.

Saya berbangga melihat karnival pada kali ini mendapat sambutan yang hangat dan luar biasa daripada pengunjung. Semoga Karnival Bitara Bahasa Negara ini mampu menjadi ruang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum untuk mengeratkan silaturahim satu sama lain dan sentiasa mengangkat bahasa kebangsaan kita.

Melalui karnival ini juga, acara yang menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak dan pelajar sekolah ialah Pertandingan Deklamasi Sajak, Dendangan Syair, Pertandingan Pidato dan Berbalas Pantun, Kembara Maklumat, Kuiz Pintar Jawi, Pertandingan Mewarna, program Didik Hibur Kad ASK, Pertandingan Kawad Kaki, Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Negeri Johor, Pertandingan Kawad Kaki Piala Datuk Bandar Johor Bahru Sekolah Menengah Kategori Badan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan, Pertandingan Koir Kemerdekaan dan Pertandingan Seni Khat Kreatif Peringkat Kebangsaan.

Terdapat juga pengisian yang bermakna dan bermanfaat buat pengunjung seperti Diskusi Bersama-sama Penulis Buku Sokongan Pendidikan dan Buku Teks DBP, Aspirasi Anak Merdeka, Program Seronoknya Animasi Digital dan Bedah Novel Nirnama: Di Manakah Dakwahnya? Karnival turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada kumpulan Muzika JB bagi mengekalkan kemeriahan acara pada malam hari.

Reruai pameran dan jualan yang disediakan oleh penganjur turut diaktifkan dengan pelbagai aktiviti daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti MBJB, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, Persatuan Seni Khat Malaysia, Gempak Starz dan banyak lagi.

Yang turut hadir dalam Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Negeri Johor serta Penutupan Karnival Bitara Bahasa Negara 2023 ialah Encik Zulfa Hamzah (Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP), Encik Mohd Rosli Mohd Othman (Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPNJ), Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBPWS), Datuk Yahya Jaafar (Ahli Majlis Zon Bandar Baru Uda), Tuan Haji Abu Talib Haji Alias (Ahli Majlis MBJB), Ir. Hajah Nazatul Shima Mohamad (Timbalan Setiausaha MBJB), Encik Imran Salleh (Ketua Pegawai Operasi, UDA Angsana Sdn. Bhd.) dan tetamu kehormat yang lain.

Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru ketika berucap dalam majlis Perasmian Karnival Bitara Bahasa Negara 2023.
Sebahagian daripada peserta pertandingan mewarna.
Majlis meriah dengan kehadiran pengunjung sekitar Pelancaran DBK dan DMK 2023.
Pameran yang diadakan oleh karyawan DBPWS.
Penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kawad Kaki bagi Kategori Lelaki.
Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Kawad Kaki bagi Kategori Perempuan.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir pada karnival tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.