17 Ogos 2023, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – “Apabila saya mengajar di sekolah Cina, pelajar berbangsa Cina selalu berfikir untuk membina ayat dengan menggunakan pola bahasa Cina. Begitu juga dengan pelajar India. Murid yang berbangsa Melayu juga masih menghadapi masalah dalam membina ayat kerana mereka sering menggunakan bahasa percakapan dalam membina ayat.”

Demikian menurut Mat Ariffin Ismail dalam program Diskusi Bersama-sama Penulis Buku Sokongan Pendidikan dan Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka. Diskusi yang dijalankan adalah bersempena dengan sambutan Karnival Bitara Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru baru-baru ini.

Buku yang bertajuk Teknik Mudah Membina Ayat yang ditulis oleh Mat Ariffin telah menjadi satu daripada topik pilihan dalam diskusi yang diadakan. Buku ini sesuai digunakan untuk pengajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Menurut beliau, buku tersebut juga dapat memastikan para pelajar menggunakan tatabahasa atau pola yang betul dalam membina ayat mahupun karangan.

Teknik ini dipertandingkan dalam pertandingan inovasi dan telah pun menerima anugerah inovasi terbaik. Selepas menerima anugerah tersebut, saya telah mendapat permintaan daripada ibu bapa dan guru-guru untuk  menghasilkan buku sebagai rujukan bagi murid dan guru.

Buku Teknik Mudah Membina Ayat mengandungi teknik asas dalam membina ayat, iaitu daripada pemilihan kata kepada frasa, terus kepada klausa dan diakhiri dengan ayat. Sambungan ayat daripada kohensi dan koheran pula akan melahirkan sebuah karangan yang lengkap, justeru itu pelajar yang mengikut teknik ini tidak lagi membina ayat menggunakan bahasa percakapan ibunda mereka.

“Saya telah membuat inovasi dalam buku ini dengan penambahan kod QR bagi memudahkan pelajar mempelajari bahasa Melayu supaya tidak berasa bosan dengan kaedah konvensional sebelum ini,” tambah Mat Ariffin lagi.

Mat Ariffin Ismail merupakan penulis buku Teknik Mudah Membina Ayat yang berpengalaman selama 27 tahun dalam pengajaran Bahasa Melayu, terutamanya dalam pembelajaran tatabahasa. Beliau juga penulis buku teks Bahasa Melayu bagi sekolah kebangsaan dan pernah menjadi panel bidang pengajaran bahasa bagi DBP.

Mat Ariffin Ismail, penulis buku Teknik Mudah Membina Ayat.
Mat Ariffin Ismail bersama-sama editor Bahagian Buku Sekolah, DBP di Karnival Bitara Bahasa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.