17 Ogos 2023, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) yang juga pengajar di Moscow State University (MSU), iaitu Prof. Madya Dr. Evgeniya Kukushkina berkata, bahasa Melayu sebenarnya bahasa yang mudah dan senang dipelajari oleh penutur bukan asal bahasa tersebut. Namun begitu, untuk menguasai bahasa Melayu dengan sempurna adalah sukar kerana banyak orang mengambil mudah dan sambil lewa ketika mempelajarinya.

Beliau berpandangan, usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diangkat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan keseluruhan masyarakat perlu menyokongnya. Tambahan pula, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan sebuah negara yang pernah terjajah pada suatu ketika dahulu.

Hampir semua bahasa di dunia rata-ratanya berdepan dengan cabaran terutamanya pengaruh dan tekanan daripada bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa. Di negara ini mungkin cabarannya lebih hebat kerana bahasa tersebut mempunyai sejarah yang kukuh dan digunakan secara meluas kini.

Menurut beliau, antara yang boleh dilaksanakan ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah dengan menggunakannya dengan lebih yakin dan secara meluas.

Para pemimpin dan ahli politik juga boleh menggunakan bahasa Melayu semasa rundingan dan lawatan rasmi di luar negara sebagai tanda kewibawaan, kedaulatan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ,” jelas beliau ketika menjadi tetamu rancangan AWANI Pagi, terbitan ASTRO pada hari ini.

Bertutur menggunakan bahasa kebangsaan dengan megah melambangkan jati diri seseorang selain mampu membawa dan memperkenalkan bahasa tersebut kepada dunia.

Katanya lagi, jika dahulu penggunaan bahasa Inggeris memberikan isyarat bahawa seseorang itu berjaya dan berpelajaran dan pemimpin yang menguasai bahasa tersebut mampu membanggakan negara tetapi kini situasinya tidak sebegitu.

Beliau berkata, pemartabatan bahasa Melayu melalui pendidikan sebenarnya telah berjaya di negara ini kerana pengalamannya ketika mendengar dua orang pelajar Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina dan India berbual begitu fasih dalam bahasa Melayu standard sesama mereka di Moscow.

Sebagai seorang pencinta bahasa Melayu, beliau berharap agar usaha untuk terus memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagaimana yang pernah disuarakan sebelum ini dapat diteruskan.

Prof. Madya Dr. Evgeniya Kukushkina  (kiri) ketika bersiaran dalam rancangan AWANI Pagi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.