18 Ogos 2023, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Kerajaan pada bulan Mac 2022 telah menetapkan supaya bahasa Melayu dimartabatkan penggunaannya pada peringkat antarabangsa. Selaras dengan ketetapan itu, penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dimantapkan melalui Ceraian PO.1.1.1 MyPPSM: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam, yang antara lainnya menyatakan bahawa “Bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dapat ditingkatkan, semua pegawai awam hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam semua urusan rasmi sama ada secara lisan atau bukan lisan. Sehubungan dengan itu, pegawai hendaklah sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa Melayu”.

Menyahut seruan ini, Parlimen Malaysia dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri Khas Parlimen pada 14 Ogos hingga 18 Ogos 2023 di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Sepang, Selangor.

Kursus tersebut dihadiri oleh 30 orang peserta dalam kalangan Pegawai Penyelidik, Pegawai Tadbir, Pegawai Undang-undang dan Pegawai Penerbitan yang bertugas di Parlimen dengan bimbingan Munsyi Dewan, Encik Abd. Karim A. Bakar. Pada hari terakhir kursus, peserta menduduki Ujian Pemantapan Bahasa yang akan menentukan kelayakan untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa.

Penutupan kursus tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Negara, Encik Muhd Sujairi Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menyeru peserta agar memanfaatkan ilmu kebahasaan yang diperoleh sepanjang kursus dalam selok-belok urusan Parlimen dalam rangka memelihara kualiti bahasa kebangsaan di institusi perundangan tertinggi negara tersebut.

“Pulanglah kalian membawa ilmu, binalah bahasa, bangunkan negara”, ujarnya.

Untuk rekod, Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa telah dilaksanakan bermula pada tahun 2015 dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam melalui INTAN dan DBP bertujuan melahirkan duta-duta bahasa dalam jabatan kerajaan.

Munsyi Dewan, Encik Abd. Karim A. Bakar sedang menyampaikan ceramah.
Setiausaha Dewan Negara, Encik Muhd Sujairi Abdullah sedang berucap dalam majlis penutupan kursus.
Penyampaian cenderamata kepada pegawai INTAN.
Penyampaian cenderamata kepada pegawai DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.