21 Ogos 2023, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aktiviti teater akan terus dipergiatkan serta diberi dukungan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan agensi yang berkaitan juga dialu-alukan untuk terus memberikan sokongan terhadap usaha menerbitkan teater dalam bahasa Melayu pada masa akan datang. Menurut Dr. Hazami Jahari, Ketua pengarah DBP, teater merupakan manifestasi falsafah dan kreativiti para karyawan.

Tambah beliau, selain berkarya, para karyawan juga telah melaksanakan tanggungjawab dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan menerusi bidang kreatif ini. Beliau berkata demikian ketika hadir memberikan sokongan dan menyaksikan pementasan terakhir di Sudut Karyawan (Stor Teater), Wisma DBP, Kuala Lumpur. Yang turut hadir ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Dr. Rosminah Tahir, pengarah teater (kanan) merakam kenangan bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dan SN Datuk A. Samad Said.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada tenaga produksi yang diketuai oleh Presiden Persatuan Teater Malaysia, Encik Sakrani Shamsuddin, penulis skrip, pengarah, dan semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan teater monodrama ini.

SN Datuk A. Samad Said turut menyatakan kekagumannya kepada kedua-dua pelakon yang berjaya membawa watak masing-masing dengan penuh penghayatan.

Persatuan Teater Malaysia juga berhasrat meneruskan pementasan dengan konsep monodrama ini agar mesej yang berkaitan dengan nilai kekeluargaan serta kesantunan bahasa dapat diperluas ke seluruh negara menerusi pementasan seperti ini.

Bertepatan dengan usaha menerbitkan monodrama ini sebagai satu usaha kolaborasi antara pertubuhan bukan kerajaan dengan agensi kerajaan berkaitan dan swasta, landasan ini akan dapat memberikan peluang seluas-luasnya kepada penggiat seni teater tanah air untuk berkarya.

Pementasan teater Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu melabuhkan tirai persembahannya semalam dengan kobar semangat untuk terus memperjuangkan teater berbahasa Melayu demi meletakkan bahasa ini sebagai alat menyampaikan karya yang memiliki falsafah dan meluaskan lagi agenda menjanakan kreativiti karyawan menerusi aktiviti seperti ini.

Pementasan teater yang diadakan sebanyak lima kali yang bermula pada 18 Ogos 2023 ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Malaysia dan CTRA Production, dengan sokongan DBP, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Teater monodrama ini menarik perhatian penonton kerana mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dengan menampilkan pelakon berbakat besar, iaitu Ewan Fauzi, penonton dibawa menghayati liku perjalanan kehidupan seorang jejaka yang pada akhirnya kehilangan ibu tercinta saat dia berjaya mengubah hidupnya berkat keyakinan serta doa seorang ibu, yang yakin bahawa anak lelakinya itu akan menjadi seorang imam.

Baju kurung merah dan kain batik di belakang Ros memberikan kesan bercampur baur kepada penonton.

“Imam” dalam erti kata yang cukup mendalam berjaya diterjemahkan oleh penulis, Siti Rohayah Atan menerusi monodrama Gaun Baju Melayu dan penonton meraih banyak pengalaman daripada setiap babak yang dipersembahkan oleh watak Ros.

Dalam monodrama kedua, iaitu Kopi Pangku, persoalan demi persoalan terus sahaja dipersembahkan oleh Nasha Aziz yang berjaya menghayati wataknya yang silih berganti dengan tidak memberikan kesempatan kepada penonton untuk melihat dirinya tanpa watak-watak dalam Kopi Pangku.

Kopi Pangku menyerlahkan lagi bakat Nasha Aziz dalam membawakan watak berbeza menerusi teater monodrama ini.

Menerusi Kopi Pangku ini, Dr. Rosminah Tahir selaku penulis skrip dan pengarah kedua-dua monodrama ini membawa dimensi tersendiri kepada teknik pengarahan. Kopi Pangku mengisahkan seorang perempuan yang telah ditinggalkan ibunya kepada ibu saudaranya yang tinggal di kaki gunung. Bertemu dengan seorang perempuan yang bernama Sumijah, watak tersebut semakin menuju kepada matlamatnya ingin mengetahui siapakah dirinya yang sebenar.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.