22 Ogos 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tangkak – Hari Pengkarya Selatan 2023 adalah platform penting untuk menghargai para pengkarya kreatif di wilayah selatan negara, serta meraikan hasil karya mereka yang memberikan sumbangan yang besar kepada dunia seni dan sastera selain sebagai satu inisiatif untuk para karyawan di Johor dan Melaka untuk terus menghasilkan karya yang terbaik.

Demikian menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dr. Hazami  Jahari ketika merasmikan Majlis Penutupan Hari Pengkarya Selatan 2023, yang berlangsung di Dewan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak semalam.

DBP berharap agar lebih banyak karyawan di selatan tanah air yang bergiat aktif dan serius dalam kepengarangan mereka, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu. DBP juga berhasrat untuk melahirkan lebih banyak sasterawan dari Johor dan Melaka seumpama tokoh-tokoh tersohor tanah air seperti A. Samad Said dan Usman Awang.

Tambah beliau, pengisian yang disertakan dalam majlis ini juga diharapkan mampu mendorong karyawan untuk terus bersemangat menghasilkan karya bermutu berdasarkan peluang dan ruang yang didedahkan kepada para peserta.

Semoga dengan majlis seperti ini, matlamat untuk menghimpunkan penggiat dalam dunia persuratan tanah air yang melibatkan karyawan Johor dan Melaka dapat dijayakan untuk kemampanan penulis tanah air.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBP Wilayah Selatan), Profesor Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak (Timbalan Presiden, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia – MBBY), Mejar Jeneral (B) Dato’ Dr. Mohd. Yunus Masjuki (Panel Bicara Karyawan), Encik Azman Safii (Pegawai PPD Tangkak), Encik Mohd Isnin Tawaf (Pengerusi Komuniti Buku Pengkarya Johor – KBKJ), Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah (Ketua 1, Persatuan Penulis Johor – PPJ), Encik Mohammad Musip (Setiausaha 1, Persatuan Penulis Melaka – PENAMA) dan tetamu kehormat lain.

Melalui program ini, pelbagai pengisian yang menarik diadakan seperti Taklimat Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) oleh Pegawai Kanan, Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP Kuala Lumpur, Taklimat Perolehan Buku oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, DBP Kuala Lumpur, Meneroka Samudera Sastera Kanak-kanak, Wacana Karyawan Selatan: Ke Mana Arah dan Haluan dan Bicara Karyawan: Proses Kreatif oleh Azimin Daud dan Mejar Jeneral (B) Dato’ Dr. Mohd. Yunus Masjuki.

Majlis penutupan itu juga menyaksikan pelancaran lima buah buku karyawan Johor dan Melaka terbitan DBP, iaitu Ada Tapi Tiada, Daun Peralihan, Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau, Panchor dan Sejarahnya dan Di Bawah Langit Terbuka.

Majlis penutupan dimeriahkan lagi dengan persembahan selingan daripada Kumpulan Ukulele dari Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak dengan dendangan dua buah lagu, iaitu lagu Lemak Manis dan Nyanyian Serambi.

Ketua Pengarah DBP ketika berucap merasmikan Hari Pengkarya Selatan 2023.
Antara sebahagian peserta yang hadir di Hari Pengkarya Selatan 2023.
Gimik pelancaran Hari Pengkarya Selatan 2023, sekali gus melancarkan lima buah buku penulis Melaka dan Johor terbitan DBP.
Antara barisan tetamu kehormat yang hadir.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.