Oleh Nazrul Aziz
23 Ogos 2023, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Buat julung-julung kalinya, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kebangsaan telah menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun Merdeka MADANI@PUSPANITA bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2023.

Pasukan pantun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mewakili pasukan PUSPANITA KPKM telah dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut. Hadiah kemenangan disampaikan sendiri oleh Penaung PUSPANITA Kebangsaan, iaitu YBhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Pasukan KPKM yang diwakili oleh Puan Siti Noor Mardiana Shahrom, Puan Nor Shafizah Suhaimi, Puan Arifah Hakimah Daud dan Puan Siti Fatimah Mohamed Izohan pada peringkat saringan telah berjaya mengalahkan pasukan PUSPANITA MOF, manakala pada peringkat suku akhir telah menewaskan pasukan PUSPANITA MINDEF 1.

Selain mencungkil bakat ahli PUSPANITA, pertandingan ini juga sebenarnya diadakan untuk menanam rasa kecintaan terhadap negara melalui aktiviti sastera.

Tema pantun sepanjang pertandingan ini kebanyakannya berkait dengan negara dan semangat patriotik. Antara tema tersebut termasuklah PUSPANITA, Malaysia MADANI, Semangat Patriotik, Pejuang Kemerdekaan, Bahasa Jiwa Bangsa, Wanita Berkerjaya, Produk Tempatan, Batik Malaysia, Muzik Tradisional dan Inisiatif Kerajaan.

Menariknya pertandingan ini apabila pada setiap perlawanan, pusingan ketiga merupakan pusingan cabutan undi tema. Hal ini bermakna, peserta perlu mencipta pantun sewaktu pertandingan sedang berlangsung berdasarkan tema yang terpilih. Pusingan ketiga ini juga mencabar minda dan kreativiti pemantun kerana perlu mencipta pantun jual dalam masa 80 saat.

Peringkat saringan yang disertai oleh 15 buah pasukan pula telah diadakan pada 17 Ogos 2023. PUSPANITA Johor mendapat tempat kedua manakala PUSPANITA MOF di tempat ketiga.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Penaung PUSPANITA Kebangsaan, iaitu YBhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.
Para pemenang bergambar kenangan bersama-sama juri pertandingan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.