27 Ogos 2023, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Program Pembudayaan Jawi melalui Komik Digital telah diadakan di Pusat Beli-Belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program ini dikendalikan oleh panel berpengalaman, Dr. Hasanah Abd. Khafidz, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Muhamad Syukri Sulaiman, guru pakar dari Maktab Rendah Sains MARA, Batu Pahat, Johor. Mereka merupakan pakar pembelajaran daripada Apple Professional Learning Specialist.

 

Program wacana interaktif ini menyediakan slot ceramah dan latihan bagi menghasilkan sendiri komik digital menggunakan iPad. Peserta yang mengikuti wacana interaktif ini mengikuti langkah-langkah asas untuk memulakan pengkaryaan komik.

Para peserta ditunjukkan kaedah menetapkan jalan cerita, lakaran kartun, memproses imej kartun dengan warna dan kesan sampingan watak, menetapkan kesan bunyi serta memasukkan latar kesan muzik.

Peserta sedang melakukan latihan sewaktu Program Pembudayaan Jawi melalui Komik Digital telah diadakan di Pusat Beli-Belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Hasanah, komik digital berbeza daripada komik konvensional kerana pekomik genre ini perlu berhati-hati dalam menentukan elemen digital. Kartun yang dihasilkan juga perlu ada kesan pergerakan dan diiringi dengan kesan bunyi.

Pendedahan awal ini akan membantu menambahkan minat peserta kepada genre komik digital. Beliau selanjutnya berharap agar para peserta boleh terus berkarya menerusi genre ini. Genre komik digital apatah lagi menggunakan tulisan Jawi masih belum diteroka dengan seluas-luasnya.

Perkongsian oleh Dr. Hasanah dan Encik Muhammad Syukri menarik minat para peserta program.

Sokongan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan agensi lain juga sudah tentu akan menyemarakkan lagi genre ini.

Encik Muhamad Syukri turut menyokong usaha yang dilakukan oleh DBP, malah dengan mengadakan wacana sebegini di lokasi pameran kartun oleh Arkib Negara Malaysia dapat membantu menambahkan pengetahuan dan idea kepada peserta khususnya.

Peserta akan dapat merasakan sendiri bagaimana kedinamikan komik digital dan  membantu memperkasakan bahasa Melayu khususnya melalui tulisan Jawi.

Orang ramai masih berpeluang mengikuti program ini pada 2 September 2023, namun tempat adalah terhad, iaitu hanya untuk 30 orang sahaja.

Untuk mengesahkan kehadiran, bolehlah mendaftarkan nama anda menerusi pautan ini: 👉🏻 https://tinyurl.com/DaftarKomikJawiDigital

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.