7 September 2023, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan forum bahasa Melayu di sektor pendidikan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Forum yang berlangsung selama hampir dua jam tersebut menampilkan tiga orang ahli panel hebat yang terdiri daripada Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Mohd Khair Ngadiron, mantan Pengarah Jabatan Pengembangan dan Bahasa, DBP, Dr. Hj. Abang Patdeli Abang Muhi dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Zanariah Ibrahim. Sementara itu, Dr. Azizul Haji Ismail pula bertindak selaku moderator forum tersebut.

Menurut Encik Mohd Khair Ngadiron, dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, MBKM yang terlibat dengan industri perbukuan berusaha menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang bagus dan bermutu sebagai bahan bacaan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Tambah beliau, tanpa bahan bacaan yang bagus dalam bahasa Melayu adalah sukar untuk mengangkat bahasa tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu melibatkan semua pihak terutamanya para pemimpin, selain menggalakkan semua surat rasmi kerajaan ditulis menggunakan bahasa Melayu.

Beliau juga berpendapat, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan secara dwitahunan perlu kembali dianjurkan pada setiap tahun seperti pada masa dahulu kerana pertandingan tersebut menghimpunkan pelbagai bangsa yang bertutur dalam bahasa Melayu dan mendapat perhatian banyak pihak.

Sementara itu, Dr. Hj. Abang Patdeli Abang Muhi pula berkata bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan sudah cukup meluas dan pihak DBP sendiri mempunyai kerjasama yang erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, DBP hanya perlu mempertingkatkan lagi usaha untuk menjalankan audit bahasa sama ada pada peringkat institusi pengajian tinggi dan sekolah, selain melaksanakan juga aktiviti sastera dan penerbitan yang melibatkan bahasa Melayu.

Pemimpin politik pula boleh menggunakan bahasa Melayu yang lebih baik dalam perbahasan di Parlimen yang kini boleh ditonton secara meluas kerana mereka sebenarnya menjadi perhatian dan ikutan masyarakat.

Beliau juga berharap agar masyarakat dapat merujuk dan menggunakan portal rujukan yang dibangunkan oleh DBP, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu mereka betul dan tepat.

Dr. Zanariah Ibrahim pula berkata bahawa IPGM sebagai sebuah institusi di bawah KPM yang mempunyai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut melaksanakan pelbagai program selaras dengan dasar tersebut selain memberikan latihan dan kursus kepada guru pelatih dan para guru yang sedang berkhidmat.

Tambah beliau, IPGM juga diberi mandat sebagai peneraju pemartabatan pendidikan bahasa Melayu, iaitu  melalui inisiatif 108 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, yang antaranya ialah semua pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu dengan betul di luar bilik darjah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas.

Setiap orang juga perlu mempunyai keyakinan menggunakan istilah baharu dalam bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh DBP agar menjadi popular yang seterusnya dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Ketiga-tiga ahli panel turut bersetuju bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini perlu dilaksanakan secara bersama dan setiap daripada ahli masyarakat perlu mengambil peranan tersebut berbanding dengan hanya menuding jari kepada pihak atau badan tertentu semata-mata.

Barisan ahli panel ketika bersiaran dalam Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.