8 September 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak – DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak, Sibu, berjaya melaksanakan Festival Pelbagai Kaum 2023, yang menghimpunkan pelbagai program bersifat kebahasaan dan sastera untuk mencungkil bakat dalam kalangan pelajar sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak selain untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar berbangsa Cina melalui aktiviti yang dianjurkan.

Sebanyak 14 buah sekolah menengah persendirian Cina telah mengambil bahagian dalam acara yang diadakan seperti Pertandingan Lagu Patriotik, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Dendangan Syair, Pertandingan Forum Pelajar, Program Bimbingan Penulisan Sajak dan Program Bimbingan Penulisan Cerpen.

Dalam festival ini, para pelajar berbangsa Cina menunjukkan tahap penggunaan bahasa Melayu yang sangat memuaskan dalam pertandingan yang mereka sertai. Walaupun lebih cenderung menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris di sekolah mahupun di rumah dan di luar rumah, tetapi para peserta ini tidak kekok menggunakan bahasa Melayu sepanjang pertandingan berlangsung.

Acara kemuncak Festival Pelbagai Kaum 2023, iaitu Pertandingan Forum Pelajar menyaksikan Sekolah Menengah (SM) Chung Hua No. 1, Kuching, merangkul gelaran johan, manakala SM Jalan Riam, Miri, selaku naib johan dan SM Pei Min, Miri, mendapat tempat ketiga.

Anugerah Pengerusi Terbaik pula diberi kepada Myceasarion Santa Franklin dari SM Jalan Riam, Miri, dan Ahli Panel Terbaik pula jatuh kepada Wong Jia Yin dari SM Chung Hua No. 1, Kuching.

Forum ini merupakan satu daripada wahana yang amat berkesan untuk memupuk penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat yang bukan sahaja dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah mahupun peringkat univerisiti, malah dalam kalangan masyarakat umum khususnya kepada penjawat awam di Malaysia.

Sebelum itu, untuk Pertandingan Klip Video, SM Min Lit Batu Kawa, Kuching, muncul johan pertandingan. SM Jalan Riam, Miri pula menyandang naib johan dan SM Chung Hua No. 1, Kuching, menduduki tempat ketiga, manakala SM Chung Hua No. 3, Kuching, dan SM Katolik, Sibu, masing-masing mendapat hadiah sagu hati.

Bagi Pertandingan Lagu Patriotik, johan diungguli oleh SM Pei Min, Miri. Naib johan dimenangi oleh SM Jalan Riam, Miri dan tempat ketiga disandang oleh SM Chung Hua No. 4, Kuching, manakala SM Wong Nai Siong, Sibu, dan SM Kai Dee, Bintulu, pula masing-masing mendapat hadiah sagu hati.

Pertandingan Deklamasi Sajak pula menyaksikan johan dirangkul oleh SM Min Lit, Batu Kawa, Kuching. Naib johan pula menjadi milik SM Chung Hua No. 1 Kuching, dan tempat ketiga ialah SM Katolik, Sibu, manakala hadiah sagu hati dikongsi oleh SM Jalan Riam, Miri dan SM Kai Dee, Bintulu.

Sementara itu, SM Katolik, Sibu menjadi johan Pertandingan Dendangan Syair. SM Pei Min, Miri pula sebagai naib johan dan SM Chung Hua No. 1 di tempat ketiga, manakala SM Jalan Riam, Miri, dan SM Nai Siong, Sibu mendapat hadiah sagu hati.

Penganjuran Festival Pelbagai Kaum 2023 yang menggabungkan pelbagai aktiviti serta pertandingan ini mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan sekolah-sekolah persendirian Cina di Sarawak.

Penganjuran festival ini telah membuktikan bahawa penggunaan bahasa Melayu menjadi satu daripada nilai patriotik yang diamalkan oleh masyarakat terutamanya generasi muda yang bakal mengemudi negara pada masa akan datang.

Sasterawan Negeri Sarawak ke-4, Encik Jong Chian Lai berkongsi pengalaman dengan para peserta Program Bimbingan Penulisan Cerpen.
Penyampaian hadiah johan pertandingan Forum Pelajar 2023 kepada SM Chung Hua No. 1, Kuching, oleh YB Encik Chieng Jin Ek, ADUN 51 Balingian, diiringi oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dan Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming, iaitu Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak.

 

Persembahan daripada seorang peserta Pertandingan Dendangan Syair.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.