Oleh Zalina Safri
8 September 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabak Bernam – Dalam era globalisasi ini, murid-murid memerlukan pengetahuan yang luas dalam perbendaharaan kata yang tepat. Hal ini sangat penting bagi mengelakkan kecelaruan dalam pengunaan kata dan istilah terutamanya pengaruh dunia tanpa sempadan ini.

Sehubungan dengan itu, Program Pancaguna Perkamusan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pusat Sumber SMK Ungku Aziz (Pustaka Pak Ungku) dan Panitia Bahasa Melayu telah diadakan pada semalam di SMK Ungku Aziz, Sabak Bernam, Selangor, yang melibatkan guru Bahasa Melayu dan sebanyak 267 murid Tingkatan 4 SMK Ungku Aziz. Program ini merupakan program bersahabat dengan kamus bagi mendedahkan warga sekolah kepada ilmu perkamusan dan peristilahan.

Program ini juga bertujuan melahirkan murid yang mahir menggunakan kamus dalam pencarian maklumat atau peristilahan dan melahirkan murid yang menguasai perbendaharaan kata terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Pada sesi awal program, guru-guru dan murid-murid didedahkan dengan sejarah kemunculan kamus di negara ini yang disampaikan oleh Puan Siti Norsuhaila Samsudin. Sesi ini memfokuskan cara pembuatan kamus daripada kamus pertama sehinggalah terlahirnya kamus hebat ketika ini, iaitu Kamus Dewan Perdana terbitan DBP pada tahun 2020.

Sesi kedua, iaitu aktiviti Roda Kata yang dikendalikan oleh Puan Rohana Abdul Rahman, Puan Nurul Hafizah Che Mat Ruddin dan Encik Shukuri Hamzah dan dibantu oleh tiga orang pelatih industri, iaitu Encik Haziq Faruqi Hamidin, Puan Nurul Ain Abdul Rahim dan Puan Noorsyafikah Ramli. Aktiviti ini mendapat sambutan dalam kalangan murid bagi menyahut cabaran dalam kemahiran penggunaan kamus. Tidak ketinggalan juga, guru yang turut berminat mencuba dalam aktiviti ini.

Sesi akhir pula ialah perkongsian daripada Puan Mardhiah Othman yang berkaitan dengan Kamus Dwibahasa yang mendedahkan murid-murid tentang cara penggunaannya dan pelbagai jenis kamus terbitan DBP.

Sementara itu, Tuan Haji Mastor Selamat, iaitu Penolong Kanan SMK Ungku Aziz, Sabak Bernam dalam ucapannya semasa majlis penutupan program ini berharap agar murid-murid SMK Ungku Aziz memperoleh ilmu perkamusan dan memanfaatkan sepenuhnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan subjek yang lain secara amnya.

Semoga melalui program sebegini, murid-murid dapat menguasai peristilahan dan pengayaan kata dan seterusnya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti.

Sesi ketika pelajar bermain dalam aktiviti Roda Kata.
Pencarian maklumat melalui aktiviti Roda Kata untuk menguji kefahaman bahasa dan maklumat dalam kalangan murid dan guru dengan merujuk kamus.
Guru turut teruja dalam aktiviti Roda Kata.
Sesi penyampaian sijil dan buku oleh Puan Siti Norsuhaila Samsudin kepada wakil SMK Ungku Aziz.
Ujana DBP turut mengadakan jualan produk buku, majalah dan kamus terbitan DBP dan para guru tidak melepaskan peluang membeli buku.
Sesi bergambar untuk kenang-kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.