8 September 2023, 22:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Encik Azeman Said

Kuala Lumpur – Program Wacana Bahasa DBP–PETRONAS telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) pada 7 September 2023 di Dewan PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur.

Program yang bertemakan “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa” ini bertujuan untuk memartabatkan dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam sektor korporat di Malaysia, menyebarluaskan maklumat penggunaan bahasa Melayu yang betul dan mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan PETRONAS melalui program kebahasaan.

Pengurus Kanan, Unit Penulis Profesional PETRONAS, Encik Azeman Said dalam ucapan alu-aluannya berkata,

Program seumpama ini amat wajar diadakan kerana dapat menambahkan ilmu serta memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam sektor korporat. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang program yang boleh memberikan kebaikan kepada kami, lebih-lebih lagi dalam hal kebahasaan. Saya amat teruja. Temanya juga menarik, sesuai dengan keperluan semasa. Perkataan yang biasa kita sebut dan tulis itu tidak semestinya betul. Oleh itu, bersama-samalah kita memperbaik penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan kita.

Sementara itu, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Mohd Fadzli Tajuid telah berkongsi maklumat korporat DBP kepada para peserta yang hadir. Antara maklumat yang dikongsikan termasuklah sejarah penubuhan, matlamat dan struktur organisasi DBP.

Beliau turut menyentuh tentang perkhidmatan dan program DBP seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), JendelaDBP, Khidmat Nasihat Bahasa (KNDBP), DBPNiaga, dan program Munsyi Dewan.

Program yang  berlangsung selama dua jam ini turut menampilkan Encik Abdul Karim Abu Bakar, mantan Ketua Bahagian Penguatkuasaan, yang juga Munsyi Bahasa DBP sebagai penceramah undangan.

Beliau memberikan penekanan terhadap kesalahan tatabahasa yang lazim dalam penulisan dokumen rasmi, surat, memo dan iklan. Beliau yang berpengalaman luas dalam pengauditan bahasa menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang betul amat penting bagi memastikan sesuatu maklumat dan maksud yang ingin disampaikan itu jelas dan tepat.

Program yang diadakan secara hibrid ini dihadiri oleh 60 orang peserta secara bersemuka dan sebanyak 250 peserta secara dalam talian dalam kalangan karyawan PETRONAS dan DBP.

Antara yang turut mengikuti progam ini termasuklah Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian Perkamusan, Dr. Rusmadi Baharuddin dan Ketua Bahagian Ensiklopedia, Puan Wardati Md. Sheriff, serta pegawai kanan daripada Unit Penulis Profesional PETRONAS, Puan Aida Abdul Karim dan Puan Mona Fairuz Nordin.

Penceramah berkongsi ilmu kepada para peserta.
Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Mohd Fadzli Tajuid berkongsi maklumat korporat DBP.
Sebanyak 60 orang peserta hadir dalam Program Wacana Bahasa DBP–PETRONAS.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.