Oleh Noor Aizah Abas
13 September 2023, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, berlangsungnya Pameran Pendidikan Jepun JAGAM 2023 di Hotel Cititel Midvalley, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM), Kedutaan Jepun di Malaysia dan Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun (JASSO). Pameran pendidikan ini bertujuan untuk mempromosikan “Belajar di Jepun” kepada pelajar, graduan sekolah, ibu bapa, guru, dan pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Terdapat sembilan buah universiti awam dan swasta, enam buah kolej dan sekolah vokasional dan 14 buah sekolah bahasa Jepun terlibat dalam pameran edisi 2023 ini. Selain itu, objektif pameran ini juga adalah untuk memperkenalkan pendidikan tinggi Jepun kepada rakyat Malaysia, serta memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara dua negara.

Pameran Pendidikan Jepun ini diserikan lagi dengan kehadiran Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada JAGAM kerana menganjurkan pameran yang amat bermanfaat ini. Beliau turut berkongsi tentang daya tarikan belajar di Jepun dengan harapan agar dapat menggalakkan pelajar sekolah menengah dan universiti di Malaysia untuk merealisasikan impian mereka belajar di Jepun. Yang turut hadir pada majlis itu ialah Encik Saito Yukiyoshi, iaitu Perwakilan Pendidikan Kedutaan Jepun.

Universiti Hiroshima yang turut membuka reruainya pada pameran pendidikan itu diterajui oleh Encik Hatakeyama Ichiro dari Kumpulan Inisiatif Global dan Encik Sugimoto Takashi dari Kumpulan Strategi Global, Pejabat Antarabangsa, Universiti Hiroshima.

Kira-kira 150 orang pelawat berkunjung ke reruai Universiti Hiroshima dan mereka berpeluang bertemu dengan wakil universiti, berinteraksi secara langsung dan mengajukan soalan kepada mereka.

Wakil daripada Universiti Hiroshima turut dibantu oleh dua orang alumni berbangsa Melayu yang fasih berbahasa Jepun dan Inggeris. Melalui kemahiran berbahasa, alumni juga dapat memainkan peranan sebagai “jambatan” yang menghubungkan Malaysia dengan Jepun dari segi pendidikan, ekonomi dan budaya.

Bergambar kenangan bersama-sama Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko.
Sebahagian pelawat yang berkunjung ke reruai Universiti Hiroshima.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.