15 September 2023, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menganjurkan majlis pelancaran sambutan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) baru-baru ini di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC, yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini mengambil pendekatan merakyatkan bahasa kebangsaan dengan pelibatan masyarakat pelbagai kaum khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Tambahnya lagi, program DBK merupakan antara program tahunan yang berjaya untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Ketika berucap dalam majlis pelancaran program tersebut, beliau berasa bangga kerana warga MOTAC mendukung dan menyokong pelaksanaannya pada setiap tahun. 

Beliau juga berpandangan bahawa sambutan DBK ini dapat mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan galakan kerajaan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai forum yang dianjurkan memperlihatkan kesungguhan tersebut.

Menurut beliau, tanggungjawab mengukuhkan bahasa Melayu yang pernah diiktiraf sebagai lingua franca ini terletak di atas bahu semua pihak dan pemartabatan bahasa kebangsaan yang diangkat melalui program ini merupakan wadah perjuangan tersebut.

Pada masa yang sama, DBK pula menjadi landasan kepada pembudayaan ilmu sepanjang masa untuk menjadikan Malaysia negara maju yang berpaksikan ilmu, amalan dan budaya nilai tinggi.

Beliau berkata, pihak pengurusan MOTAC akan terus menyokong program memartabatkan bahasa kebangsaan dan turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atas kerjasama padu yang diberikan kepada pihaknya dalam penganjuran program ini.

Pada majlis yang sama juga diadakan sesi “Belajar Bahasa bersama-sama Cikgu Zack Kirana” dan Pertandingan Bicara Berirama yang disertai oleh kumpulan bicara berirama dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) dan Istana Budaya.

Majlis turut disajikan dengan dendangan syair dan persembahan khas daripada Kumpulan Seni JKKN, dan turut diserikan dengan persembahan daripada PERMATA Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu Kumpulan Permata Seni Koir dan Permata Seni Tari. Majlis tersebut juga disiarkan secara dalam talian menerusi Facebook JKKN TV.

Antara aksi Cikgu Zack Kirana ketika dalam sesi “Belajar Bahasa bersama-sama Cikgu Zack Kirana” dengan para tetamu yang hadir.
Pertandingan Bicara Berirama turut diadakan bersempena dengan majlis sambutan tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.