Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGombak – Pasukan Bahas Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) Kali ke-48 bagi kedua-dua kategori, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, Kuala Lumpur, hari ini.
Pasukan Bahas ASiS (Kategori Bahasa Melayu) dianggotai oleh Muhammad Aiman Mohd Rani, Juan Mirza Iskandar Nor Azuan, Muhammad Aiman Najmi Mohd Rusdi, dan Muhammad Afiq Daniel Saufi Amin.
Pasukan bagi Kategori Bahasa Inggeris yang mewakili ASiS pula terdiri daripada Nazrul Hakim Mohd Jaafar, Muhammad Ilham Firdaus Nor Hoda, Qhaliquzaman Razeinuddin Bazley Shah Qutubulzaman Awaluddin Shah @ Bismi Moha, dan Mohamad Iman Fakhrullah Mohamad Fauzi.
Johan pertandingan bagi kedua-dua kategori tersebut membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala, sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM3000.00.
Dalam pertandingan yang sama, naib johan (Kategori Bahasa Inggeris) pula dimenangi oleh Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya, dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM2000.00.
Sementara itu, Mohamad Irfan Mohamad Faizul (MCKK) dan Abdul Shafiq Danial Abdul Farouk (SAS) pula masing-masing dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik bagi Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris dalam pertandingan tersebut. Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM500.00.
Pada majlis penyampaian hadiah, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan menerusi ucapan alu-aluannya berkata, pertandingan perbahasan ini bukan sahaja dapat mengasah bakat murid, malah dapat melahirkan murid yang memiliki pelbagai kemahiran.
Pertandingan ini juga menjadi wadah dan tempat untuk mereka memacu potensi diri dalam pelbagai kemahiran, sama ada kemahiran bahasa, melontarkan idea, serta penyelesaian masalah.
Tambahnya lagi,
Aspek kemenjadian murid melalui aktiviti di luar bilik darjah perlu digalakkan, diberi sokongan serta dorongan daripada pelbagai pihak.
Haji Azman juga menyatakan bahawa aktiviti seperti bahas ini dapat menerapkan nilai karamah insaniah dalam diri setiap pelajar.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir dalam pertandingan tersebut termasuklah YBrs. Encik Ab Aziz Mamat (Pengarah Bahagian Pengurusan Berasrama Penuh, KPM), YBrs. Dr. Mazlena Mohamad Hussain (mewakili Rektor UIAM), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka) dan YBrs. Puan Shahariah Ismail (Pemangku Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak).
Pertandingan Bahas PPM yang dianjurkan oleh Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak ini merupakan pertandingan yang berprestij bagi warga SBP. Tujuannya adalah untuk mencungkil dan mengasah bakat murid dengan seni berpidato secara cerdas dan bijaksana dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris agar dapat melahirkan bakal pemimpin yang bersifat dinamik pada masa hadapan.