20 September 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Catan Air Peribahasa Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor 2023 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00 dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan di SMK Tun Fatimah Hashim, Taman Daya, Johor Bahru, baru-baru ini.

SMK Bandar Baru Uda berentap bersama-sama 42 buah sekolah menengah kebangsaan yang mewakili 10 daerah yang menampilkan bakat kreatif dan kesungguhan dalam mentafsirkan maksud peribahasa dan mempersembahkannya dalam bentuk lukisan catan air.

Naib johan pertandingan pula dimenangi oleh SMK Munshi Abdullah, Kulai, yang membawa pulang wang tunai bernilai RM800.00 dan SMK Taman Daya 2, Pasir Gudang, memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM500.00.

Pertandingan Catan Air Peribahasa Sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor 2023 dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Panitia Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Persatuan PSV SMK Tun Fatimah Hashim sebagai usaha menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan murid sekolah melalui elemen bahasa dan seni visual.

Dalam pertandingan tersebut, lukisan yang dihasilkan tersebut dinilai berdasarkan elemen peribahasa yang digunakan, teknik lukisan dan penggunaan warna oleh para hakim yang berpengalaman luas dalam dunia seni visual, iaitu Mohd Ali Mustaffa Othman (mantan guru PSV), Nizam Mat Tanda (Guru PSV, SMK Tanjung Adang) dan Muhammad Alif Marzuki (Pelukis Mural).

Sementara itu, Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS dalam ucapannya pada majlis penyampaian hadiah menyatakan bahawa,

Pertandingan catan air berjaya mempelbagaikan elemen didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran, di samping mencabar minda murid agar lebih kreatif dan inovatif dalam mentafsirkan peribahasa dan mempersembahkannya dalam bentuk visual lukisan catan air. Proses pemindahan teks peribahasa ke dalam bentuk visual ini menggalakkan proses penciptaan dalam kalangan murid dan seterusnya mencetuskan kemahiran berfikir aras tinggi dalam minda mereka.

Tambah beliau, DBP amat menyokong usaha pihak sekolah menerapkan elemen bahasa kebangsaan dalam mata pelajaran PSV seperti yang dizahirkan dalam penganjuran program  ini. Ternyata pembelajaran dalam bentuk koakademik dan kegiatan di luar kelas ini dapat menyokong pembentukan ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik) sebagaimana yang digagaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Hajah Sa’diah Teknoh (wakil Pengetua SMK Tun Fatimah Hashim), Encik Razid Sahran (Timbalan Pengarah (Bahasa) DBPWS), dan Encik Mohd Izranuddin Jelani (Guru PSV SMK Tun Fatimah Hashim).

Pengarah DBPWS, Encik Mohd Riduwan Wahab menyampaikan cenderamata dan sijil penghargaan kepada Ketua Hakim Pertandingan, Encik Mohd Ali Mustaffa Othman.
Lukisan catan air peribahasa yang dihasilkan oleh johan pertandingan, iaitu SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

 

Lukisan catan air peribahasa yang dihasilkan oleh naib johan pertandingan, iaitu SMK Munshi Abdullah, Kulai, Johor.

 

Lukisan catan air peribahasa yang dihasilkan oleh pemenang ketiga pertandingan, iaitu SMK Taman Daya 2, Pasir Gudang, Johor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.