21 September 2023, 13:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Eksplorasi Bahasa bermatlamat untuk menjunjung aspirasi untuk terus memupuk budaya dan semangat mencintai bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan serta penghayatan terhadap kecintaan ilmu dan identiti nasional dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Demikian antara pandangan YBrs. Dr. Shanina Sharatol Ahmad Syah, Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) ketika Pertandingan Eksplorasi Bahasa diadakan baru-baru ini.

Menurut beliau, Pertandingan Eksplorasi Bahasa mengutamakan pelibatan pelajar pelbagai kaum yang turut berperanan sebagai wasilah dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa utama komunikasi dalam negara demi merealisasikan agenda Malaysia MADANI.

Kerjasama strategik antara Dewan Bahasa an Pustaka (DBP) dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) perlu diperbanyak dan dipergiat supaya usaha memperkukuh semangat nasionalisme dalam diri setiap rakyat dan budaya mencintai bahasa kebangsaan sebagai satu daripada identiti negara dapat terus dipertingkatkan serta disemarakkan, terutama dalam kalangan pelajar berbilang bangsa yang merupakan generasi peneraju masa depan negara.

Sementara itu, menurut Puan Nor Asiah Osman, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, usaha penghayatan kepentingan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan kepada segenap lapisan masyarakat demi melahirkan generasi yang mencintai, menghormati dan menjunjung bahasa kebangsaan sebagai satu daripada teras perpaduan negara.

Pertandingan Eksplorasi Bahasa diadakan bersempena dengan Festival Permainan Malaysia dan dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sebanyak 200 orang peserta daripada IPG Kampus Bahasa Melayu dan Fakulti Pendidikan, UM telah menyertai pertandingan ini.

Objektif utama pertandingan ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa dan persuratan Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pembinaan jati diri dan citra bangsa di samping memartabatkan penggunaan bahasa Melayu terutama dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti lain yang turut diadakan. Antaranya termasuklah Keretapi Sarong, pertandingan permainan tradisional dan permainan moden, persembahan pentas, pertandingan pencungkilan bakat, bengkel dan demonstrasi permainan tradisional, pameran, demonstrasi dan jualan produk kraf dan seni serta jualan makanan.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah bagi pertandingan pula disempurnakan oleh Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP.

Sesi taklimat bersama-sama para peserta Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Kumpulan Bahari daripada IPG Kampus Bahasa Melayu muncul sebagai johan Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.